SALAH satu tradisi masyarakat Melayu Sarawak adalah berdagang. Keaktifan mereka berdagang ini terserlah dengan mengharungi lautan luas untuk membawa barang dagangan dan menjalinkan hubungan perdagangan dengan dunia luar.
Tradisi pelayaran dan berdagang ini juga sinonim dengan masyarakat Melayu di Alam Melayu. Tradisi ini biasa dikenali sebagai tradisi nakhoda. Dalam bahasa biasanya nakhoda merupakan pemimpin kepada kapal yang dipandunya. Sudah semestinya nakhoda seorang yang mahir selok belok dunia kelautan dan mengenal teluk-teluk serta ilmu tentang pelayaran.
Nakhoda Melayu ini berlayar jauh hingga ke China dan India untuk membawa hasil bekalan dagangan mereka. Malahan, kapal-kapal kendalian orang Melayu ini juga besar seperti dinyatakan oleh sumber daripada China. Catatan Liu Sung Shu menyatakan bahawa Maharaja China berkehendakkan barang dari Alam Melayu maka banyak kapal-kapal dagang dari Alam Melayu singgah ke selatan China.
Menariknya dalam catatan China ini adalah pada awalnya kapal-kapal dari Alam Melayu ini menguasai perdagangan dari China. Menurut salah seorang pengembara Buddha China, iaitu I-Tsing, pedagang China menumpang kapal-kapal dagang orang Melayu untuk berdagangan dengan dunia luar.
Perdagangan Di Sarawak
Di Sarawak, perdagangan tempatan ini diusahakan oleh pedagang Melayu. Malahan dalam strata masyarakat orang Melayu ini, terdapat kelas nakhoda yang amat dihormati. Mereka ini menjalankan dan menghidupkan perdagangan di Sarawak.
Minat orang Melayu berniaga dan berdagang ini tercetus daripada kerajinan mereka untuk mencari keuntungan. Mereka bermula dengan kegiatan mendapatkan modal dengan menjual barangan harian seperti garam, manik dan barangan tembaga dengan penduduk pedalaman Sarawak. Dari pedalaman Sarawak pula, mereka akan mendapat barangan mentah seperti jelutong, rotan, lilin lebah, kapur barus dan akar-akar kayu.
Barangan ini dibawa keluar oleh mereka dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pedagang dari China, India dan Parsi serta Arab. Kegiatan berdagang ini membawa kepada kemajuan aktiviti perdagangan di Sarawak sekitar abad ke-7 sehingga membawa kepada kemunculan Santubong sebagai pusat perdagangan.
Kargo
Nakhoda Melayu ini juga terlibat membawa hasil barangan proses seperti tepung sagu dari Mukah. Nakhoda Melayu ini, semasa pemerintahan Brooke, menjadi pengangkut sagu ke Kuching untuk diproses. Sebelum kedatangan Brooke pula, nakhoda Melayu ini juga berperanan membawa emas dan antimoni Sarawak ke Singapura ketika kedua-dua bahan galian ini diusahakan di Bau.
Kecekapan nakhoda ini berdagang juga membawa kepada kepandaian orang Melayu membuat pengangkutan air. Untuk tujuan perdagangan terdapat beberapa jenis kapal digunakan.
Di Alam Melayu, nakhoda ini memiliki kapal layar yang bersaiz besar yang dikenali dengan pelbagai nama seperti jong, ghali, phinisi dan pinas. Terdapat juga kapal jenis sederhana dan perahu kecil untuk berdagang seperti padewakang, nade, lancang, kora-kora, kolek, baluk, kakap dan sekoci. Kapal dan perahu jenis ini memang menjadi pengangkutan penting untuk berdagang.
Selain kapal-kapal ini, orang Melayu Sarawak juga memiliki pengangkutan air tersendiri untuk berdagang. Salah satu pengangkutan air penting untuk mengangkut barang dagangan ialah perahu bandong. Perahu ini ialah perahu kargo dan digunakan untuk perjalanan ke laut.
Selain menjadi kapal kargo mengangkut barangan, ia juga digunakan untuk aktiviti menangkap ikan. Dari segi saiznya pula, perahu ini berbeza-beza dan ada yang mempunyai dua tiang layar.
Selain itu, ada juga beberapa jenis perahu seperti perahu balok, perahu bagong dan perahu lunchong. Perahu-perahu ini banyak digunakan di kawasan pedalaman, sama ada untuk mengangkut barangan, mahupun untuk tujuan berlumba dan menangkap ikan.
Pada tahun 1874, dicatat beberapa buah kapal layar milik nakhoda Melayu Sarawak dalam The China Directory. Sumber ini menyatakan bahawa kapal nakhoda Melayu ini yang paling besar dimiliki Haji Mohamed Taha dengan berat 142 tan. Manakala kapal-kapal lain pula bersaiz (berat) antara 48 tan hingga 118 tan.
Kehebatan
Nakhoda Melayu ini juga dipuji oleh orang Barat sebagai pelaut yang rajin dan handal. Salah seorang Mubaligh Kristian, iaitu Mc Dougall pernah menyatakan bahawa nakhoda ini sebagai golongan yang mahir dalam aktiviti perdagangan. Tambahan daripada itu, beliau menyatakan nakhoda ini menggunakan ilmu falak untuk mengendalikan kapal-kapal mereka.
Salah seorang pegawai Brooke, iaitu Hugh Low pula menyatakan bahawa keupayaan nakhoda Melayu ini setara dengan kelasi kapal Eropah. Malahan, ilmu berdagang mereka diakui oleh Low sebagai amat baik dalam urusan berdagang dengan orang asing.
Ketokohan
Terdapat beberapa nakhoda Melayu yang dikenal pasti aktif berdagang. Antaranya termasuklah Datu Imam Abang Haji Merais yang tinggal di Sibu. Beliau memulakan aktiviti perdagangannya dengan membawa tembikar tanah untuk dijual kepada orang Melanau dan Iban.
Bermula daripada aktiviti ini, perdagangan beliau bertambah maju dan beliau mula menjalankan perdagangan bukan setakat di Sarawak, tetapi di luar negeri. Beliau juga memiliki beberapa buah kapal layar dan menjalankan perdagangan tekstil. Untuk tujuan itu, beliau telah berlayar ke Singapura dan Hong Kong untuk mendapatkan bekalan tersebut.
Aktiviti perniagaan beliau ini menjadikan beliau sebagai seorang yang kaya di Sibu. Satu ketika, Kerajaan Brooke pernah meminjam wang daripada beliau bagi tujuan perbelanjaan kerajaan. Beliau juga menjemur wang beliau sekali seminggu bagi mengelak kelembapan dan karat pada wang yang disimpan.
Selain beliau, terdapat beberapa lagi tokoh penting yang melibatkan diri dalam aktiviti perdagangan ini, iaitu Haji Hashim. Ketangkasan beliau sebagai nakhoda menarik minat Kerajaan Brooke untuk melantik beliau sebagai Datu Bentara.
Manakala Haji Sleh (mungkin Saleh) pula, mempunyai tradisi nakhoda daripada keturunan beliau dari Pontianak. Beliau juga salah seorang nakhoda yang Berjaya, walaupun menghadapi pelbagai cabaran untuk mengembangkan perniagaan beliau. Beliau menggunakan kapal layar beliau bernama Sri Lambir, menjalankan operasi perdagangan dari Pontianak ke Brunei.
Beliau juga pernah dilanda musibah apabila Sri Lambir karam di Sematan. Namun, beliau kembali aktif berdagang apabila menerima sumbangan daripada kerajaan Brooke untuk menampung kerugian yang dialami.
Persaingan
Walaupun kerajaan Brooke dilihat prihatin dengan golongan nakhoda, tetapi kedatangan beliau mengubah tatacara perdagangan. Kerajaan Brooke membuka ruang kepada pedagang Barat dan Cina menjalankan perniagaan mereka di Sarawak. Kedatangan pedagang baharu yang lebih canggih teknologi, modal besar dan mempunyai jaringan perdagangan luas telah memberi kesan kepada nakhoda Melayu.
Sementara itu, dasar Brooke mengasingkan orang Melayu daripada penduduk Dayak juga memberi kesan kepada peranan nakhoda untuk berdagang dengan penduduk pedalaman. Kemunculan bazaar di pedalaman Sarawak menjadikan peranan nakhoda ini bertambah sukar dan secara beransur-ansur, hilang.
*Dr. Suffian Mansor ialah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.