Kenakan penalti, tangguh lantikan 3 tahun guru yang enggan terima penempatan ke Sarawak

Facebook
WhatsApp
Siaran berita yang dimuatnaik dalam FB Utusan Sarawak yang mendapat pelbagai reaksi nitizens

KUCHING: Guru baharu yang enggan ditempatkan dimana-mana untuk berkhidmat, perlu dikenakan penalti dengan penangguhan pelantikannya selama tiga tahun.

Ini antara saranan Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) yang terkilan dan kesal dengan sikap guru-guru  baharu yang menolak penempatan ke Sarawak.

Presiden KGBS, Zulkiflee Sebli berkata, pihaknya mencadangkan  agar guru-guru ini mesti diambil tindakan tegas.

“Salah satu cadangan tindakan ialah menangguhkan pelantikan  guru-guru ini selama tiga tahun sebagai penalti mereka engkar  perintah dan arahan,” katanya ketika dihubungi pemberita Utusan Sarawak, hari ini.

Beliau mengulas tindakan 222 daripada 3,227 guru ‘one-off’ yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran itu sehingga 30 September tahun lalu.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi jawapan lisan di laman sesawang Parlimen semalam memaklumkan 3,227 guru ‘one-off’ itu merangkumi 2,621 guru lantikan tetap dan 606 guru lantikan secara guru kontrak perkhidmatan (COS) yang ditempatkan di Sarawak.

Laman web Utusan Sarawak menerusi facebooknya yang memuatnaik berita itu malam tadi, menerima pelbagai reaksi nitizens yang rata-ratanya kesal dengan tindakan guru baharu itu dan ramai yang mencadangkan supaya kekosongan itu diisi terus oleh anak Sarawak untuk berkhidmat di negeri sendiri.  

Zulkiflee berkata tindakan guru baharu yang enggan menerima penempatan bertugas di Sarawak, sebenarnya telah melanggar arahan Perintah Am dan menentang etika seorang  guru.  

Oleh itu, katanya, KGBS mohon kepada KPM untuk mengambil tindakan tegas dalam hakl ini.  

“Isu ini menggambarkan ada dalam kalangan guru-guru baharu dari luar Sarawak beranggapan Sarawak sebagai negeri yang  berkelas rendah. 

“Sekiranya KPM tidak tegas, maka tidak mustahil isu yang sama akan terus  berulang,” katanya.

 Selain itu, beliau mencadangkan siswa guru yang sedang dalam latihan perlu menandatangani aku janji sedia berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun di mana-mana lokasi di negara Malaysia untuk mengelakkan mereka menolak lantikan pertama setelah tamat latihan khususnya arahan lantikan pertama mereka ke wilayah Sarawak.

“Justeru, amat penting Sarawak diberi autonomi pendidikan agar masalah ini tidak timbul kerana kita boleh melantik anak-anak tempatan mengisi perjawatan ini,” katanya.

Oleh NUR AIN OTSMAN

Presiden KGBS, Zulkiflee Sebli 

BMW bakal kurangkan 8,000 pekerja

BRUSSELS: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW, akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerja dan kebanyakannya di Jerman, sebagai sebahagian daripada program pengurangan kos