KUALA LUMPUR: Lazada Malaysia menyaksikan peningkatan tiga kali ganda bilangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah mendigitalkan perniagaan mereka berbanding sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Januari 2020, yang membawa kepada kenaikan 1.5 kali dalam angka penjual aktif sehingga kini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Leo Chow berkata, keadaan ini dirangsang selepas banyak syarikat mengalakkan kakitangan mereka untuk bekerja dari rumah.
Trend ini mungkin akan berterusan memandangkan produk aksesori berteknologi Lazada (komputer dan peranti komputer riba), runcit, peralatan perumahan dan gaya hidup menyaksikan lonjakan jualan sebanyak enam hingga tujuh kali ganda semasa kempen ‘8.8 Budget Bonanza Lazada’.
“Kami percaya trend menaik ini akan kekal disebabkan pengguna akan bergantung kepada e-dagang untuk mendapat lebih daripada sekadar keperluan serta kemudahan mereka dalam normal baharu,” katanya kepada Bernama semalam.
Platform e-dagang yang terkemuka ini sedang menumpukan usahanya untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam membantu PKS tempatan dan pemulihan ekonomi Malaysia termasuk menyokong komuniti jenama, penjual, dan pelanggan pulih kembali disamping mengembangkan perniagaan mereka sejak PKP, kata Chow.
“Dalam tempoh tiga bulan ini, kira-kira 10 peratus daripada penjual Lazada mampu meningkatkan jualan mereka semasa kempen 8.8 kepada kira-kira 10 kali ganda daripada purata harian mereka dalam bulan biasa, didorong oleh matlamat kami untuk mengembangkan PKS dengan kerjasama kerajaan khususnya pada saat-saat yang amat kritikal seperti sekarang,” katanya.
Lazada Malaysia akan terus menumpukan usaha bagi menyokong program kerajaan, memperkenalkan penjual tempatan dengan jenama Malaysia dan masyarakat setempat melalui inisiatif dan kempen seperti Lazada 9.9.
“Ikrar ringgit untuk ringgit kami yang terbaharu dalam menyokong kempen e-dagang perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) adalah susulan daripada Pakej Kedai Pintar kami yang bernilai RM10 juta.
“Kempen ini membolehkan PKS Malaysia untuk beralih kepada digital dan memohon insentif khas yang boleh disesuaikan seperti sokongan pembiayaan bebas faedah bagi MSME yang berjaya meminjam,” katanya.
Sebelum ini, Pakej Kedai Pintar Lazada, yang berlangsung sejak April hingga Jun 2020, menyaksikan lebih daripada 17,000 perniagaan kecil mendaftar dengan platform tersebut dan mendapat akses kepada aliran pendapatan alternatif, latihan daripada Universiti Lazada serta pinjaman mikro. PKS tempatan menyaksikan pertumbuhan melebihi 110 peratus dalam jualan disebabkan oleh inisiatif itu.
Pada Ogos, Lazada juga melancarkan kempen Beli Barangan Malaysia dan ‘Shop Malaysia Online’ yang bertujuan mempromosikan penjual serta produk tempatan, disamping merangsang pemulihan ekonomi yang diterajui teknologi digital.
“Orang ramai masih perlu berada di rumah walaupun negara sedang memasuki fasa pemulihan, rakyat Malaysia telah menyesuaikan diri dengan keadaan selepas pandemik dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan.
“Rakyat Malaysia akan terus bergantung kepada platform e-dagang seperti Lazada untuk keperluan mereka, kami telah melihat jutaan pesanan yang dibuat melalui platform, dengan peningkatan hampir 80 peratus secara purata dalam pesanan harian berbanding sebelum PKP,” katanya.- Bernama