SUDAH DITEMPAH… Lembu yang terdapat di M.Z Agriculture Rampangi yang ditempah untuk Aidiladha pada Ahad ini di Kuching.
KUCHING: Kenaikan harga ternakan tidak menjejaskan keupayaan masyarakat Islam untuk melakukan ibadah korban dan aqiqah pada sambutan Aidiladha Ahad ini.
Tinjauan Utusan Sarawak di M.Z Agriculture (Rampangi) mendapati sambutan masyarakat Islam untuk ibadah korban dan aqiqah pada tahun ini amat menggalakkan meskipun harga ternakan naik.
Menurut Pengurus M.Z Agriculture Mohd Zainnudin, seperti tahun sebelumnya, permintaan terhadap lembu dan kambing amat menggalakkan daripada masyarakat Islam untuk tujuan korban pada Aidiladha.
“Setelah dua tahun berdepan dengan pandemik tahun ini tidak kurang hebatnya permintaan terhadap lembu dan kambing.
“Jumlah lembu yang kami ada adalah sebanyak 120 ekor lembu dan 30 ekor kambing. Alhamdulillah kesemuanya terjual,”katanya kepada ketika ditemu bual di sini, semalam.
Beliau turut memaklumkan bahawa harga ternakan naik mendadak ekoran harga makanan ternakan turut nait sejak kenaikan harga minyak.
“Saya menjual lembu 250 kilogram RM6000 hingga RM6,500, manakala 300 kilogram (RM7000 hingga RM7500) dan 400 kilogram (RM8000 hingga RM8500).
“Bagi harga kambing pula, 40 kilogram dijual pada harga RM2000. Kami amat bersyukur setelah kita memasuki fasa endemik, masyarakat Islam boleh membuat ibadah korban dan hasil ternakan kami terjual,” ujar Zainnudin.
Sementara itu, tinjauan di pasar basah sekitar Kuching kebanyakkan para peniaga dan pembeli sudah membuat persiapan menjelang Aidiladha pada Ahad ini.