SEORANG lelaki membaiki troli yang digunakan untuk mengutip barangan kitar semula bagi menampung kehidupan harian di Jakarta. • Foto AFP
JAKARTA: Tindakan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menaikkan harga beberapa komoditi seperti keperluan asas, harga bahan api, kadar cukai dan tarif lain mengundang kecaman pelbagai golongan masyarakat.
Lapor AFP, kenaikan itu memberi kesan kepada pemilik gerai makan di Gambir, Rofiqoh, 54.
Katanya, kenaikan tarif itu dilihat seolah-olah tidak mengambil kira kemampuan golongan bawahan seperti dirinya.
Walaupun tidak terlalu tinggi, bagi golongan seperti Rofiqoh, kenaikan itu tetap ‘mencekik’ pendapatannya yang tidak seberapa.
“Kalau saya pegawai dan mempunyai banyak wang, kenaikan seperti ini tidak menjadi masalah.
“Tetapi sebenarnya tidak kerana kenaikan ini sangat menyusahkan kami,” luahnya.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Sri Mulyani berkata, kenaikan harga itu dianggap tidak berat sebelah dan mengambil kira suara kelas menengah dan bawah dalam tempoh sukar akibat pandemik Covid-19, sejak dua tahun lalu.
Jumaat lalu, pihak kerajaan secara rasmi menaikkan kadar Cukai Nilai Tambah (VAT) daripada 10 kepada 11 peratus.
Akibat kenaikan VAT, sejumlah barangan dan perkhidmatan yang kebiasaannya digunakan oleh orang ramai setiap hari secara automatik akan menjadi lebih mahal.
Beberapa contoh barangan yang tertakluk kepada VAT termasuk pakaian, beg, kasut, kredit telekomunikasi, sabun, peralatan elektronik, barangan automotif dan kosmetik.
Mulyani berkata, kenaikan cukai VAT itu bukan bertujuan menyusahkan rakyat, sebaliknya kenaikan itu akan kembali kepada masyarakat semula.
Dalam masa masa, kerajaan juga menaikkan harga bahan bakar Pertamax daripada 9,000 ke 9,400 rupiah (RM2.60-RM2.75) kepada 12,500 ke 13,000 rupiah (RM3.70-RM3.80) seliter.
Kenaikan itu didakwa mengambil kira kenaikan harga minyak mentah di pasaran global.
Lebih membimbangkan apabila tarif di beberapa tol Trans Jawa turut dinaikkan antara 500 hingga 4,000 rupiah (14 sen-RM1.17). –AFP