Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Kenaikan gaji penjawat awam rangsang ekonomi negara
  • NASIONAL

Kenaikan gaji penjawat awam rangsang ekonomi negara

Utusan Sarawak 9 months ago
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR: Pelarasan gaji penjawat awam dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia secara signifikan dan memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama dalam sektor hartanah dan runcit, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

“Peningkatan dalam tahap pendapatan penjawat awam dijangka merangsang perbelanjaan domestik. Ini akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk PKS, terutama bagi mereka dalam sektor hartanah dan runcit, menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan ekonomi.

“Saya percaya pelarasan gaji tidak lama lagi, yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi impak berbilion ringgit dalam perbelanjaan dan menjana kesan berganda kepada pasaran,” katanya dalam kenyataan.

Beberapa institusi antarabangsa termasuk JP Morgan dan Goldman Sachs telah menaikkan rating mereka bagi pasaran kapital Malaysia. Institusi kajian ekonomi juga mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara dalam suku kedua tahun ini melangkaui enam peratus, mengatasi jangkaan awal kerajaan.

Dalam suku pertama tahun ini, ekonomi Malaysia berkembang 4.2 peratus tahun ke tahun, dipacu oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah, jumlah dagangan tinggi dan pemulihan pasaran buruh.

Jumlah individu bekerja melebihi 17.1 juta, paling tinggi dicatatkan, manakala kadar pengangguran menurun kepada 3.3 peratus, sekali gus menunjukkan guna tenaga penuh.

Nga menekankan pemulihan kukuh dan pertumbuhan mantap ekonomi Malaysia di bawah kepimpinan Anwar.

“Guna tenaga penuh bukan sahaja bermakna lebih ramai mempunyai pendapatan tetap dan peluang pekerjaan, tetapi juga menunjukkan daya tahan ekonomi dan produktiviti negara telah meningkat secara ketara,” katanya.

Beliau berkata kerajaan MADANI akan terus memantau trend pembangunan ekonomi dan komited untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang komprehensif dan mampan menerusi pelbagai langkah dasar bagi memastikan semua sektor dan industri mendapat manfaat daripada kemakmuran ekonomi.

Anwar dijangka membuat pengumuman penting mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya esok.

Timbalan Pengarah Kanan (Pembangunan Kompetensi) Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Datuk Dr Haniff Zainal Abidin berkata pengumuman itu dijangka menarik perhatian ramai khususnya dalam kalangan penjawat awam. – Bernama

Continue Reading

Previous: Kelahiran hidup menurun 10.2 peratus suku kedua 2024
Next: Bernama, Perkeso meterai MoU, manfaat 493 pengamal media sambilan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.