Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Kemurungan selepas bersalin, sindrom kerap tidak disedari ibu kali pertama
  • KESIHATAN

Kemurungan selepas bersalin, sindrom kerap tidak disedari ibu kali pertama

Utusan Sarawak 8 hours ago
KEMURUNGAN selepas bersalin, sindrom senyap yang kerap tidak disedari ibu kali pertama. Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Perubahan fizikal yang ketara pada seorang aktres selepas melahirkan anak sulungnya yang kini berusia setahun, mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminatnya bahawa wanita itu berdepan kemurungan selepas bersalin atau postpartum depression (PPD).

Dalam perkongsian di media sosial, aktres itu bagaimanapun menafikan telahan peminat dan netizen yang beliau mengalami PPD, sebaliknya lebih kepada “keletihan melampau” kerana banyak mengorbankan tidur bagi menguruskan anak sebelum kembali ke set penggambaran di awal pagi.

Situasi yang diami aktres tersebut membuka perbincangan meluas di media sosial tentang PPD atau meroyan dalan bahasa Melayu kolokial, dan mencetuskan kesedaran bahawa simptom gangguan itu mungkin tidak disedari oleh segelintir ibu, terutama wanita yang kali pertama melahirkan anak.

SIMPTOM PPD

Mengulas perkara itu, Pakar Perunding Obstetrik, Sakit Puan dan Perubatan Janin Ibu, Pusat Perubatan Sunway Velocity Dr Gayathri Mariappa berkata kemurungan selepas bersalin merujuk perasaan sedih, cemas atau putus asa yang lebih kuat dan berpanjangan sehingga menjejaskan keupayaan seorang ibu menjalani rutin harian.

Beliau berkata keadaan tersebut lazimnya berlarutan melebihi dua minggu dan boleh berlaku pada bila-bila masa bermula minggu kedua selepas melahirkan hingga setahun.

“PPD berbeza dengan sindrom ‘baby blues’ (perubahan emosi sementara selepas kelahiran) yang kebiasaannya dialami oleh ibu. ‘Baby blues’ merupakan tempoh singkat melibatkan perubahan emosi seperti mudah menangis atau berasa cemas dalam minggu pertama selepas melahirkan anak.

“Simptom ‘baby blues’ lazimnya akan beransur pulih dengan sendiri dalam tempoh dua minggu selepas kelahiran bayi. Namun, PPD adalah sindrom yang lebih serius dan memerlukan perhatian khusus, justeru ia tidak boleh disalah anggap sebagai keadaan yang sama,” katanya kepada Bernama.

Menurut Dr Gayathri, hingga kini punca sebenar PPD masih belum dapat dikenal pasti sepenuhnya oleh pakar perubatan.

Bagaimanapun jelas beliau, terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti boleh meningkatkan risiko PPD dalam kalangan ibu baru bersalin.

“Antara faktor tersebut ialah sejarah masalah kesihatan mental sebelum ini, terutamanya kemurungan, sama ada sebelum atau semasa kehamilan.

“Selain itu, kekurangan sokongan keluarga terdekat atau rakan, hubungan pasangan yang bermasalah termasuk keganasan rumah tangga serta pengalaman peristiwa besar dan menekan seperti kehilangan orang tersayang, turut menyumbang kepada risiko PPD,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kemurungan selepas bersalin boleh dialami oleh mana-mana ibu, termasuk mereka yang tidak mempunyai faktor risiko yang jelas atau sejarah masalah kesihatan mental.

Selain itu,  Dr Gayathri berkata kehadiran seorang bayi juga boleh membawa perubahan besar dalam kehidupan seorang ibu,  apabila terpaksa berdepan tekanan emosi dan keletihan fizikal dalam menguruskan bayi, sekali gus berpotensi mencetuskan simptom kemurungan tersebut.

RISIKO PPD TERHADAP IBU BAHARU

Mengulas lanjut, Dr Gayathri berkata ibu yang kali pertama melahirkan anak dikenal pasti berdepan risiko lebih tinggi untuk mengalami kemurungan selepas bersalin, terutama ketika mereka masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan pelbagai rutin baharu sepanjang proses berpantang dan penjagaan bayi.

Beliau berkata risiko tersebut boleh meningkat akibat beberapa faktor, antaranya pengalaman kelahiran yang traumatik atau mencemaskan, komplikasi kesihatan yang telah menjejaskan ibu atau bayi, pendedahan kepada alkohol semasa kehamilan serta tekanan kewangan yang berpanjangan.

Selain itu, kajian turut menunjukkan bahawa ibu baharu yang kembali bekerja selepas tempoh cuti bersalin berdepan risiko lebih tinggi untuk mengalami tekanan emosi dan kemurungan selepas bersalin.

Situasi itu didorong oleh cabaran mengimbangi tuntutan kerja dengan tanggungjawab menjaga anak dan mengurus rumah tangga yang sering mengakibatkan keletihan fizikal, tekanan mental dan beban emosi yang ketara.

Beliau berkata kajian juga mendapati bahawa sesetengah sektor pekerjaan, khususnya sektor komersial, mencatatkan kadar PPD lebih tinggi sekali gus mencerminkan pengaruh budaya dan persekitaran tempat kerja terhadap kesejahteraan ibu.

“Situasi ini berlaku apabila ibu itu berdepan tempoh cuti bersalin yang singkat atau tidak berbayar, selain kebimbangan terhadap keselamatan pekerjaan serta kestabilan kewangan keluarga.

“Kaedah pemakanan bayi juga dikenal pasti memainkan peranan dalam kesihatan emosi ibu yang bekerja. Ibu yang menyusukan anak sering berdepan kekangan masa, kekurangan kemudahan sokongan di tempat kerja serta keletihan fizikal, manakala ibu yang memberi susu formula pula mungkin mengalami tekanan berbeza seperti beban kos atau rasa bersalah, yang turut memberi kesan kepada kesejahteraan emosi mereka,” katanya.

Tambahnya, kekurangan sokongan majikan dan keluarga, perasaan terasing daripada orang sekeliling serta masalah kurang tidur yang lazim dialami ibu baharu dilihat boleh memburukkan lagi simptom kemurungan selepas bersalin.

TERLEPAS PANDANG

Dalam pada itu, Dr Gayathri berkata banyak simptom awal PPD sering terlepas pandang dan hanya dianggap sebagai perubahan emosi biasa selepas melahirkan anak, menyebabkan ibu baharu tidak mendapatkan bantuan di peringkat awal.

Antara tanda awal yang lazim dialami ialah perubahan emosi secara mendadak seperti daripada rasa gembira kepada sedih atau tekanan melampau, selain episod menangis tanpa sebab jelas yang kerap.

“Ibu baharu juga berkemungkinan mengalami peningkatan kerengsaan dan kegelisahan, berasa tegang atau mudah marah berbanding kebiasaan.

“Sehubungan itu, ibu-ibu ini harus didiagnosis melalui penilaian klinikal dan saringan yang boleh dijalankan oleh doktor atau jururawat yang memantau kesihatan ibu selepas bersalin.

“Sekiranya saringan awal menunjukkan kemungkinan masalah kesihatan mental, penilaian lanjut atau rujukan kepada pakar psikiatri akan disyorkan,” katanya.

Beliau berkata dalam usaha menguruskan simptom awal, ibu digalakkan mengambil langkah kendiri seperti meluahkan perasaan kepada ahli keluarga atau rakan serta memaklumkan bentuk bantuan yang diperlukan.

Ibu juga disaran meluangkan masa untuk melakukan aktiviti yang digemari, mendapatkan rehat dan tidur mencukupi, bersenam secara berkala serta mengamalkan pemakanan yang sihat.

Sokongan psikologi seperti kaunseling atau terapi tingkah laku kognitif turut disarankan bagi membantu ibu menguruskan tekanan emosi.

“Bagi kes PPD yang lebih teruk atau tidak menunjukkan respons terhadap rawatan, doktor mungkin mencadangkan penggunaan ubat antidepresan yang dikenal pasti selamat untuk digunakan semasa penyusuan, bergantung pada penilaian klinikal individu.

“Tempoh pemulihan daripada kemurungan selepas bersalin ini juga berbeza bagi setiap individu. Ibu yang mengalami PPD tidak wajar diabaikan, sebaliknya perlu diberikan kefahaman, sokongan berterusan dan penjagaan yang sewajarnya bagi memastikan kesejahteraan ibu dan bayi terjaga,’’ katanya.

Tegasnya ibu yang mengalami PPD tanpa rawatan berisiko tinggi mengalami kemurungan jangka panjang dan seterusnya berpotensi melakukan perkara-perkara yang memudaratkan diri dan juga bayi.

Bagaimanapun katanya mereka yang lewat menerima rawatan klinikal masih boleh pulih asalkan mendapat sokongan keluarga dan orang sekeliling. 

PENDIDIKAN ANTENATAL

Sementara itu, pakar psikiatri dan kesihatan mental Dr Fakrul Azren Azhar berkata pendidikan antenatal yang menyeluruh termasuk persediaan mental, kefahaman terhadap perubahan emosi selepas kelahiran serta adanya sistem sokongan sosial yang kukuh, berupaya mengurangkan risiko kemurungan selepas bersalin.

Menurut beliau, aspek kesihatan emosi terutamanya wanita yang kali pertama menjadi ibu, perlu diberi perhatian sama penting sepertimana pemeriksaan fizikal sepanjang tempoh kehamilan dan selepas bersalin.

Katanya ini memandangkan perubahan hormon, kurang tidur serta tuntutan peranan baharu boleh memberi kesan besar terhadap kesejahteraan mental seseorang wanita.

“Menjadi seorang ibu bukan sekadar memegang satu gelaran, sebaliknya merupakan satu proses pembentukan jiwa yang baharu. Tubuh seorang wanita telah bekerja tanpa henti sepanjang sembilan bulan kehamilan dan selepas bersalin.

‘’… dan pada masa sama ibu ini pula perlu menyesuaikan diri dengan perubahan rutin harian mereka, jadi ia tidak mudah,” katanya.

Tambahnya pemeriksaan emosi secara berkala, sama ada melalui saringan awal atau perbincangan terbuka dengan pakar kesihatan dan psikologi, mampu membantu mengesan simptom awal kemurungan selepas bersalin.

Dalam pada itu, Dr Fakrul Azren turut mengingatkan para ibu yang berdepan tekanan emosi agar tidak memendam perasaan, sebaliknya berani tampil mendapatkan sokongan dan bantuan sewajarnya.

“Tidak ada manual tentang bagaimana menjadi ibu yang sempurna. Tidak ada ibu yang tahu bagaimana hendak menguruskan anak pada hari pertama dan kali pertama memiliki anak. 

“Rawatan yang ada bukan untuk memalukan ibu, tetapi untuk memulihkan mereka. Sama seperti luka fizikal yang perlu dijahit, luka jiwa juga perlu diberi rawatan,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Klinik Kesihatan Nyabor dinaik taraf

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.