
SEMPENA perayaan Tahun Baharu Cina hari ini, wacana kali ini cuba mengenang kembali bagaimana orang Cina datang ke Sarawak, dan bagaimana pula kehidupan awal mereka.
Fenomena penghijrahan orang Cina ke luar tanah besar China bukan sesuatu yang asing kerana masyarakat Cina sering bergerak ke luar dari negara asal mereka dengan pelbagai tujuan.
Perdagangan merupakan salah satu sebab terawal mengapa orang Cina bergerak ke luar. Hubungan dagangan antara China dan Asia Tenggara terutama dengan Alam Melayu telah bermula sebelum kedatangan kuasa Barat ke Asia.
Kerajaan besar seperti Srivijaya, Majapahit dan Melaka telah mempunyai hubungan dagang dan diplomasi dengan China. Malah Kedah Tua juga tidak terkecuali dengan hubungan awal ini.
Bagaimana dengan Sarawak? Sarawak sebenarnya tidak juga lari daripada hubungan dagang ini. Kerajaan awal Melayu di Santubong misalnya telah menunjukkan wujudnya hubungan ini.
Ini dibuktikan dengan pertemuan arkeologi di beberapa kawasan atau pusat perdagangan di Sarawak seperti tembikar dan duit syiling dinasti China yang menunjukkan wujudnya hubungan ini.
Catatan
Salah satu catatan menarik tentang hubungan China dengan Alam Melayu datang daripada seorang Sami Buddha China iaitu Fa-hshien.
Beliau pernah mencatat satu kawasan persinggahannya dari Sri Lanka (Ceylon) ke Alam Melayu iaitu Yeh-p’o-t’i. Dalam tafsiran beberapa ahli sejarah menyatakan Yeh-p’o-t’i adalah sebuah kawasan yang terletak di pantai timur Sumatera berdekatan Palembang.
Ada pula mengatakan bahawa ia adalah Jawa. Pendapat ketiga pula mengatakan ia terletak di barat pantai Borneo.
Sekiranya tanggapan ini benar, maka Sarawak dapat dianggap telah berkembang sebagai sebuah pusat perdagangan yang seiring dengan kemunculan kerajaan-kerajaan awal Alam Melayu sekitar abad ke-4 dan ke-5 Masihi.

Hal ini berbeza dengan pandangan O. W. Wolters yang menyatakan bahawa hubungan dagang dengan Santubong hanya bermula sekitar abad ke-10 Masihi.
Walaupun wujud perbezaan pandangan mengenai kronologi hubungan tersebut, interaksi perdagangan antara China dan kawasan perdagangan di Sarawak pada peringkat awal tidak membawa kepada penghijrahan besar-besaran atau pembentukan penempatan tetap masyarakat Cina.
Fenomena dan penghijrahan secara tetap boleh dikenal pasti sekitar abad ke-19. Masyarakat Hakka merupakan antara masyarakat Cina terawal di Sarawak.
Selepas itu diikuti dengan kedatangan peniaga Cina dialek Hokkien dan Teochew yang datang ke Kuching selepas penubuhan kerajaan Brooke di Sarawak.
Walaupun ada yang mengatakan Lau Chek seorang Kantonis telah datang seawal tahun 1820s ke Kuching menerusi catatan dalam rekod Kuching Kwong Wai Siew tetapi kesahihan sumber ini belum lagi diuji.
Migrasi
Tetapi yang pastinya tentang kedatangan masyarakat Cina ke Sarawak adalah migrasi orang Hakka ke Sarawak untuk mencari hasil galian emas.
Menariknya, mereka ini bukan datang terus dari China tetapi melalui Kalimantan Barat, manakala yang lain pula terus dari Singapura. Oleh itu, perjalanan mereka ke Sarawak tidaklah sehala tetapi pelbagai hala.
Sebab masyarakat Cina ini berhijrah keluar dari tanah besar China boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor. Kekacuan di China pada abad ke-19 seperti perang dengan kuasa Barat dan Jepun serta pemberontakan dalaman mempengaruhi kehidupan masyarakat Cina di tanah besar.
Keadaan ini diburukkan dengan masalah bencana alam yang menimpa China menyebabkan berlakunya kesukaran dalam kehidupan. Pilihan yang ada hanyalah belayar keluar China untuk mencari kehidupan baharu, dan ada juga ingin mencari kekayaan untuk dibawa pulang semula ke China.
Jalan ke sebarang laut juga bukannya mudah. Kebiasaan pada abad ke-19 penumpang-penumpang Cina ini mengharungi cabaran getir. Kapal karam salah satu tragedi yang menjadi mimpi ngeri bagi mereka.
Suasana di kapal mengangkut mereka juga tidaklah selesa. Ada kalanya beribu-ribu pekerja China dibawa oleh sebuah kapal.
Perjalanan ke distinasi yang membawa mereka ini juga mengambil masa yang panjang. Dari Amoy (kini Xiamen) ke Singapura memakan masa antara 20 hingga 30 hari. Selepas itu, beberapa hari pula untuk sampai ke Sarawak.
Kehidupan
Sampai sahaja di Sarawak, mereka berdepan pula suasana amat berbeza dengan negara mereka. Cuaca tropika, hutan tebal dan masyarakat berbeza merupakan fenomena baharu yang perlu mereka sesuaikan.
Yang datang pula membawa beberapa helai pakaian dan sedikit wang tunai. Peralatan yang dibawa pula tidaklah banyak. Mereka juga dikhabarkan dengan berita-berita kurang menyenangkan seperti pemburu kepala.
Walaupun kehidupan mereka pada peringkat awal ini agak sukar, apa yang membantu mereka untuk terus kental menempuh cabaran adalah pertolongan dalam masyarakat mereka sendiri. Oleh itu mereka bersama-sama mengusahakan ekonomi yang diberi oleh pihak kerajaan Brooke.
Lada salah satu hasil pertanian yang diusahakan oleh orang Cina di Sarawak. Pada awalnya penanaman lada ini merupakan inisiatif Raja Charles Brooke yang memberi tanah kepada orang Cina menguasahakan tanaman ini pada 1878.
Orang Cina mengambil peluang ini dengan baik dan telah membangunkan penanaman lada di Sarawak. Usaha yang digerakkan ini telah membuahkan hasil dan membantu pembangunan ekonomi Sarawak.
Eksport lada Sarawak pada 1907 menunjukkan peningkatan dengan jumlah pengeluaran lebih 5,000 tan. Selepas itu orang Cina ini mengambil peluang pula dengan pengenalan penanaman getah pada tahun 1900.
Peluang
Sebelum pembangunan dalam kedua-dua penanaman ini, telah ada usaha pedagang-pedagang Cina mendirikan kilang-kilang sagu di Kuching sekitar tahun 1850.
Selepas itu mereka menjalankan perdagangan terus dengan Mukah untuk mendapatkan hasil sagu.
Penglibatan mereka ini bukan setakat sektor pertanian. Orang Hakka dari Sambas telah menguasahakan lombong emas di Bau seperti dijelaskan awal tadi.
Akibat tidak akur dengan kerajaan Brooke dan menyerang Kuching pada tahun 1857, kerajaan Brooke telah menudukkan mereka di Bau.
Walaupun tekanan dilakukan oleh kerajaan Brooke ke atas pelombong-pelombong Hakka ini di Bau, masyarakat Cina kembali menjalankan aktiviti melombong emas di Bau.
Malah mereka meneruskan perlombongan emas ini apabila ditinggalkan oleh Borneo Company.
Usaha gigih masyarakat Cina ini akhirnya membantu kemakmuran mereka. Maka lahir juga beberapa golongan kaya yang menjadi tokoh penting dalam sejarah Sarawak seperti Ong Tiang Swee.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.