
KUCHING: Seramai 11 finalis berentap merebut gelaran juara pada pertandingan Kemuncak Bintang Kecil 2025, di Auditorium P. Ramlee di sini Sabtu ini.
Menurut Penerbit Bintang Kecil 2025, Nadia Fadila Ali, kemuncak Bintang Kecil kali ini berkonsepkan ‘metaverse’ sejajar dengan perkembangan era digital serta kecenderungan kanak-kanak masa kini terhadap permainan mudah alih dan teknologi interaktif.
“Sebelas finalis ini berpeluang menyerlahkan kemampuan dan bakat masing-masing di pentas akhir bagi merebut gelaran juara,” katanya pada sidang media Kemuncak Bintang Kecil 2025 di sini hari ini.

Katanya, hadiah bagi Kemuncak Bintang Kecil 2025 menawarkan ganjaran lumayan, yang mana juara bakal membawa pulang RM20,000, diikuti naib juara RM15,000, tempat ketiga RM10,000, manakala peserta sagu hati menerima RM5,000 setiap seorang, dan satu anugerah khas untuk Persembahan Terbaik turut disediakan bernilai RM3,000.
“Pertandingan ini akan disiarkan secara langsung bermula 9.00 malam menerusi TV2 untuk memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia menyaksikan detik lahirnya juara baharu Bintang Kecil 2025,” jelasnya.
Katanya, menghangatkan lagi pentas tersebut menampilkan pengacara popular Bell Ngasri, Sharifah Nurhafifa dan Arm Amran serta diserikan lagi dengan persembahan artis jemputan, Heal Husaini, Roxy Ixzy, Hairee Francis, Faris Malek, Nurhijrah Yahya dan Des Marcus.
Nadia berkata, sejak diperkenal pada 1986, pertandingan Bintang Kecil menjadi wadah utama dalam mencungkil serta melahirkan bakat-bakat baharu dalam bidang nyanyian bagi kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun.
Sebelas finalis bakal berentap ialah Kelvin Epoy (Sarawak), Aleysha Shareef Van Der Horst (Sarawak), Nurul Hafizah Safri (Sabah), Cinta Suci Indah Urmila Abdullah (Johor), Megat Muhammad Qalif Megat Shazrin (Terengganu), Puteri AzliaMihd Taufik (Kedah), Melissa Rose Mohd Taufik (Pulau Pinang), Mayrisha Naalia Dyana Reyza Nyambong (Melaka), Tai Eimran Azlan (Selangor), Ahmad Dasuki Qusyairie Roslani (Brunei Darusalam) dan Claudy Qaila Sakhi (Indonesia).
Turut hadir, Timbalan Pengarah Penyiaran Sarawak Norjihan Yahya.
Oleh Yanti Sham