
DEBAK: Kemudahan sukan moden terus diperluas ke kawasan luar bandar apabila Gym Komuniti Debak dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam, malam tadi.
Terletak di Pusat Komuniti Debak, gimnasium ini merupakan satu inisiatif penting bagi menyediakan ruang kondusif kepada golongan belia tempatan untuk mengasah potensi dalam bidang sukan dan kecergasan, di samping memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Menurut Mohammad Razi, gimnasium tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai pusat kecergasan fizikal, malah menjadi wadah untuk membentuk disiplin dan sahsiah diri dalam kalangan belia.
“Kita mahu melihat lebih ramai belia Saribas tampil sebagai atlet yang bukan sahaja cemerlang, tetapi juga berdaya saing di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.
Menariknya, Gym Komuniti Debak dikendalikan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Debak (LAKMD), dan dibuka kepada orang ramai dengan kadar sewaan yang berpatutan, hanya RM3 bagi setiap sesi atau RM30 untuk langganan bulanan.
Pelajar sekolah berumur 18 tahun ke bawah turut menikmati kadar istimewa, iaitu hanya RM1 bagi setiap kemasukan.
Kemudahan ini dilihat sebagai pemangkin kepada aspirasi Sarawak dalam melahirkan lebih ramai atlet luar bandar yang berpotensi tinggi, selain menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti riadah dan kecergasan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Razi turut memaklumkan bahawa Kompleks Sukan Debak akan dinaik taraf menerusi pelaksanaan Fasa Kedua pembinaan yang merangkumi penambahan astaka, tapak parkir, serta ruang kemudahan lain yang lebih menyeluruh.
Majlis perasmian turut diserikan dengan kehadiran pemimpin masyarakat, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pemuda tempatan yang menyambut baik usaha memperkasa pembangunan belia menerusi pendekatan berasaskan komuniti.