TANJUNG MANIS: Pembangunan kemudahan infrastruktur seperti perhubungan sistem jalan raya ke Daerah Tanjung Manis dan pembangunan Pantai Belawai menjadikan Pesta Belawai 2024 tumpuan pengunjung dari luar daerah itu.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, beliau percaya masih banyak projek seumpama ini yang telah diluluskan termasuk Jambatan Pasi yang menghubungkan Sarikei ke Tanjung Manis, Jambatan Batang Paloh, Jambatan Batang Lassa dan Jambatan Batang Igan akan memudahkan penduduk dari Mukah, Dalat, Matu dan Daro untuk sampai ke Daerah Tanjung Manis.
“Pembangunan pantai pelancongan Belawai akan memberikan tarikan terbaru kepada Pesta Belawai pada masa akan datang.
“Sekiranya projek ini siap nanti, Pantai Belawai atau Belawai Beach ini akan menjadi salah satu pantai yang cantik di Sarawak,” katanya ketika berucap di majlis penangguhan Pesta Belawai 2024, hari ini.
Katanya, jika dilihat dari jumlah acara yang disusun menunjukkan kesungguhan jawatankuasa pengelola untuk menjadikan Pesta Belawai 2024 menarik pengunjung dari kawasan-kawasan dalam dan luar Daerah Tanjung Manis.
“Ia seterusnya dapat memberikan manfaat menjanakan pendapatan, memperkenalkan produk-produk makanan tempatan dan kebudayaan di Daerah Tanjung Manis.
“Bagi memastikan keindahan Pantai Belawai, seruan saya kepada pengunjung Pesta Belawai 2024 ini supaya menjaga kebersihan sepanjang masa bukan pada masa pesta ini diadakan sahaja.
“Jangan buang sampah merata-rata kerana ini jika kawasan Pantai Belawai ini tidak bersih, penuh dengan sampah sarap, akan memberi imej yang tidak baik kepada kawasan Belawai Beach yang diiktiraf oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai Hawaii Belawai,” katanya lagi.
Jelasnya, kerajaan melalui Majlis Daerah Matu Daro (MDMD) menyediakan kemudahan pengutipan dan pembersihan bagi kawasan Pantai Belawai dan seringkali aktiviti gotong-royong juga diadakan untuk membersih Pantai Belawai, namun masih ramai lagi pengunjung mengambil sikap sambil lewa membuang bekas-bekas makanan dan minuman serta botol plastik di sekitar pantai.
“Sampah terutama bahan plastik bukan sahaja mengotori pemandang dan mencemari persekitaran pantai tetapi memberi ancaman kepada hidupan laut sekiranya dibawa arus semasa air pasang,” katanya.
Oleh Earl Anek