
SIBU: Masalah kekurangan kawasan parkir yang sekian lama membelenggu penduduk Rumah Anne Saging di Pasai Siong kini selesai selepas projek pembinaan parkir baharu di bawah dana khas Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Bawang Assan siap dilaksanakan.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, projek itu dilaksanakan susulan aduan penduduk mengenai kesesakan lalu lintas dan isu keselamatan yang sering berlaku terutama ketika majlis keramaian di rumah panjang berkenaan.
“Ketika menghadiri sambutan Gawai Mangkung Tiang di rumah panjang tersebut sebelum ini, penduduk telah menyuarakan masalah kekurangan kawasan parkir yang menyebabkan kesesakan dan menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk serta pengunjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya bersama jurutera Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) telah mengadakan lawatan ke lokasi tersebut pada 23 Januari lalu bagi meninjau keadaan dan mengenal pasti keperluan sebenar penduduk.
Menurutnya, jurutera MDLBS kemudian menjalankan pemeriksaan tapak dengan bantuan Kaunselor Jeksen Chuban sebelum pelan penambahbaikan dilaksanakan.
“Selepas beberapa bulan pelaksanaan, projek kawasan parkir ini berjaya disiapkan dan diserahkan untuk kegunaan penduduk menjelang sambutan Hari Gawai pada Jun ini,” katanya.
Lau berkata, kemudahan baharu itu dijangka memberi keselesaan kepada penduduk serta pengunjung selain meningkatkan aspek keselamatan di kawasan rumah panjang tersebut.
“Penyediaan kemudahan ini bukan sahaja memudahkan penduduk dan pengunjung, malah membolehkan sambutan perayaan diadakan dalam suasana lebih selesa dan teratur,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MDLBS, agensi berkaitan dan penduduk yang membantu memastikan projek itu dapat dilaksanakan dengan lancar.
Katanya, pihaknya akan terus memantau projek pembangunan komuniti di kawasan Bawang Assan bagi memastikan setiap projek memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Oleh Tarani Lanting