
BINTANGOR: Usaha memperkasa kemudahan asas luar bandar diteruskan apabila projek pembersihan dan naik taraf sistem saliran di Rumah Lidik Baling, Sungai Mador diserahkan kepada kontraktor pelaksana semalam.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata pelaksanaan projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan asas penduduk luar bandar terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan asas rakyat khususnya di kawasan luar bandar termasuk menaik taraf sistem saliran dan kemudahan jalan bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei, projek kerja membersihkan dan menaik taraf saliran pengaliran di Rumah Lidik Baling, Sungai Mador disaksikan oleh wakilnya, Wong Soon Mee bersama Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarikei, semalam.

Pada hari yang sama, turut diadakan lawatan pengesahan siap kerja Projek Mesra Rakyat (PMR) 2025 bersama pegawai Pejabat Pembangunan Negeri (SDO), Syaiffudin, melibatkan kerja baik pulih serta pembinaan jalan konkrit di Jalan Hung Mee dan Jalan Tie 7272 di kawasan Jalan Tung Nam Poh.
“Pelaksanaan projek-projek ini memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya dalam meningkatkan kelancaran sistem perparitan dan kemudahan jaringan jalan raya di kawasan tersebut.
Usaha menaik taraf infrastruktur luar bandar akan terus menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.
Oleh Earl Anek