KUCHING: Kempen ‘Penanaman Pokok, Perlindungan dan Pemulihan Habitat’ Sarawak Energy berperanan penting dalam menyokong matlamat mempromosikan kelestarian alam sekitar dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata program itu merupakan inisiatif Sarawak Energy dengan kerjasama MBKS, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dan Persatuan Syarikat Elektronik dan Industri Sokongan Sarawak (SECA).
Katanya, projek yang berlangsung dari 2021 hingga 2030 itu bukan sekadar melindungi alam sekitar malah menzahirkan komitmen pihak terlibat bagi menjadikan Sarawak lebih hijau dan mampan untuk semua.
”Bagi kami di MBKS, kempen ini merupakan bahagian penting dalam matlamat kami untuk mencipta masa depan rendah karbon dan menyokong SDG.
”MBKS, bersama rakan kerjasama, komited kepada tanggungjawab menjaga alam sekitar dan berusaha untuk menangani cabaran alam sekitar yang mendesak, termasuk perubahan iklim, penebangan hutan serta kehilangan biodiversiti.
”Dengan mengambil bahagian dalam kempen ini, kami sedang berusaha untuk mengurangkan pelepasan karbon sebagai sebahagian Pelan Tindakan Karbon Rendah kami, yang menyokong SDG 13 (Tindakan Terhadap Perubahan Iklim),” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kempen Penanaman Pokok, Perlindungan dan Pemulihan Habitat Sarawak Energy, di sini, semalam.
Menjelas lanjut, Wee berkata pokok memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim dengan menyerap karbon dioksida, membekalkan oksigen dan memberikan teduhan yang menyejukkan kawasan kejiranan.
”Dengan menanam pokok dan memulihkan habitat, kita bukan sahaja menjadikan persekitaran kita lebih sihat tetapi juga menyokong SDG 15 (Kehidupan di Darat) dengan mempromosikan biodiversiti dan melindungi ekosistem kita.
”Justeru, kempen ini juga diadakan untuk meningkatkan kesedaran komuniti tentang pembangunan mampan, selain menggalakkan penyertaan penduduk, perniagaan dan organisasi.
”Pokok yang ditanam melalui kempen ini akan tumbuh menjadi kawasan hijau di mana keluarga boleh berkumpul dan kanak-kanak bermain, sejajar dengan SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan),” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA