Kempen saringan kesihatan diperluas, tingkat kesedaran masyarakat

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DATO Wee berucap pada Program Saringan Kesihatan di Tokong Bintawa Heng Ann Thian Miau, Jalan Bintawa, hari ini.

KUCHING: Kempen Saringan Kesihatan akan diperluaskan ke lebih banyak kawasan komuniti di sekitar bandar raya ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan serta pengesanan awal penyakit.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, berkata kempen yang dimulakan sejak dua bulan lalu itu kini memasuki siri ketiga dan akan diteruskan ke beberapa lokasi lain, termasuk Song Kheng Hai dan kawasan flat KMC.

Menurut beliau, inisiatif tersebut mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk Pusat Perubatan Borneo (BMC), beberapa pusat pakar perubatan serta Persatuan Diabetes.

“Program ini bukan sekadar menyediakan saringan kesihatan, malah merupakan platform untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan.

ORANG ramai mendapatkan pemeriksaan kesihatan sempena Program Saringan Kesihatan anjuran Pusat Perubatan Borneo (BMC) di Tokong Bintawa Heng Ann Thian Miau, Jalan Bintawa, hari ini.

“Ramai yang tidak menyedari mereka menghidap penyakit seperti diabetes atau tekanan darah tinggi kerana penyakit ini sering tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal. Oleh itu, saringan kesihatan secara berkala amat penting,” katanya pada Program Saringan Kesihatan di Tokong Bintawa Heng Ann Thian Miau, Jalan Bintawa, hari ini.

Beliau berkata, kempen tersebut turut menyasarkan golongan miskin bandar dan akan diperluaskan ke sekolah-sekolah bagi meningkatkan kesedaran tentang kesihatan dalam kalangan pelajar, guru dan ibu bapa.

Tambah beliau, pihaknya berhasrat meneruskan kempen itu sekerap yang mungkin, bergantung pada keupayaan tenaga kerja petugas kesihatan serta sokongan institusi perubatan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Matlamat kami adalah untuk memastikan lebih ramai masyarakat menjalani saringan awal supaya penyakit dapat dikesan lebih awal dan langkah pencegahan dapat diambil sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya.