
JULAU: Kempen Perangi Gula (War On Sugar – WOS) berperanan sebagai platform mendidik rakyat agar lebih peka terhadap risiko pengambilan gula tinggi yang menjadi punca utama penyakit kronik.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, berkata ia turut memperkukuh usaha kerajaan membendung penyakit kronik seperti diabetes, obesiti dan jantung dengan menggalakkan masyarakat hidup lebih aktif dan sihat.
“Mari kita kuatkan diri untuk menjadi sihat dan sentiasa peka dengan risiko yang berkaitan dengan penyakit dan menggalakkan gaya hidup sihat.
“Saya berharap program seperti ini akan membuka peluang kepada lebih ramai masyarakat kita seperti golongan belia dan warga emas untuk menjaga kesihatan mereka,” katanya.
Larry yang juga Pengerusi Majlis Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) berkata demikian ketika berucap pada Program Jerayawara Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), sambutan Hari Kesihatan Mental dan Kempen WOS bagi Parlimen Julau bertempat di Rumah Jelian, Nanga Meluan, semalam.
Dalam pada itu, katanya, ANMS diwujudkan sebagai platform menyeluruh bagi membantu rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat dan lestari melalui pelbagai aktiviti berimpak positif terhadap kesihatan.
“Program ANMS dapat menyediakan kecergasan fizikal, pemakanan yang betul, kemahiran mengurus diri dan tidak merokok yang dapat melindungi kesihatan orang ramai.
“Kita bukan sahaja mahu menjalani kehidupan yang sihat dari segi fizikal dan mental, tetapi juga kehidupan yang bahagia.
“Sebagai Ahli Parlimen Julau, saya menyokong penuh gerak kerja dan penyusunan Kementerian Kesihatan (KKM) yang bukan sahaja melindungi kesihatan tetapi juga mewujudkan masyarakat yang boleh menyokong antara satu sama lain,” ujarnya.
Beliau turut menggesa masyarakat supaya menghentikan sikap prejudis terhadap mereka yang mempunyai penyakit mental bagi mengelak banyak perkara yang akan berlaku.
“Kita boleh mengubah stigma dengan mendengar, memahami dan menyokong mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental dan tidak menilai mereka, kerana kesihatan mental adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.
“Jangan takut dan risau, kita mendapatkan bantuan bukan sahaja dari klinik, KKM turut menyediakan talian HEAL 15555 untuk mendapatkan khidmat sokongan dan kaunseling,” tambahnya.
Oleh Earl Anek