
KANOWIT: Lebih 50 juta pokok telah ditanam di seluruh Sarawak setakat Julai ini menerusi Kempen Penghijauan Sarawak yang dilaksanakan sejak 2021.
Pengarah Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad berkata, jumlah itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong Inisiatif Nasional Penanaman 100 Juta Pokok dan usaha global menangani perubahan iklim.
“Sehingga kini, sebanyak 50,036,826 pokok telah ditanam di seluruh pelosok negeri. Usaha kolektif ini memberi sumbangan besar kepada kualiti udara, keseimbangan ekosistem dan kelangsungan hidup generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Wilayah Sibu di Kanowit East Forest Reserve, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hamden berkata hutan memainkan peranan penting dalam menstabilkan suhu bumi, menapis udara, mencegah hakisan tanah serta menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna.
“Dunia kini menyasarkan penurunan suhu global sebanyak 1.5 darjah Celsius menjelang 2050, dan tiada teknologi yang mampu menandingi peranan hutan serta pokok dalam mencapai sasaran itu.
“Kita di Sarawak memiliki tanah yang subur, hujan mencukupi dan cahaya matahari yang ideal. Apa yang diperlukan hanyalah usaha berterusan dan komitmen daripada semua pihak,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa rakyat Sarawak agar terus menyokong Kempen Penghijauan Sarawak yang sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 ke arah menjadikan Sarawak negeri maju dan hijau menjelang 2030.
Katanya, secara purata, setiap pokok matang mampu menyerap antara 20 hingga 30 kilogram karbon dioksida setahun, sekali gus memberi impak besar terhadap pengurangan pelepasan karbon dan peningkatan kualiti udara.
Menyentuh sambutan Hari Hutan Antarabangsa yang disambut setiap 21 Mac, Hamden berkata penghayatan terhadap kepentingan hutan wajar diteruskan sepanjang tahun menerusi pelbagai inisiatif, termasuk program penanaman pokok.
Beliau berkata, tema sambutan tahun ini iaitu ‘Hutan dan Makanan’ amat signifikan kerana hutan bukan sahaja menjadi kawasan biodiversiti, malah turut menyediakan sumber makanan semula jadi seperti buah-buahan, herba dan protein.
Sementara itu, mengenai lokasi sambutan, Hamden berkata Kanowit East Forest Reserve merupakan kawasan hutan simpan yang sebahagiannya telah diceroboh untuk tujuan pembangunan ladang.
“Pencerobohan kawasan hutan simpan adalah satu kesalahan serius. Jabatan Hutan telah mengambil tindakan termasuk menghentikan aktiviti penanaman baharu dan memulihkan kawasan yang terjejas,” katanya.
Turut hadir Pegawai Hutan Wilayah Sibu, Ahmad Ashrin Mohammad Bohari.
Oleh Tarani Lanting