Kempen Pembelian Semula Bahan Kitar Semula perkasa budaya hijau masyarakat

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
LANCAR KEMPEN…Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menyempurnakan gimik pelancaran Kempen Pembelian Semula Bahan Kitar Semula sempena program anjuran E-mart Tabuan Jaya dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di kawasan parkir Pasar Raya E-mart Tabuan Jaya, Kuching, hari ini. Foto Norman B

KUCHING: Amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat terus diperkasakan menerusi penganjuran Kempen Pembelian Semula Bahan Kitar Semula oleh E-mart Tabuan Jaya dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di kawasan parkir Pasar Raya E-mart Tabuan Jaya, di sini, hari ini.

Kempen yang berlangsung dari 8.30 pagi hingga 11.30 pagi itu memberi peluang kepada orang ramai menjual bahan-bahan yang boleh dikitar semula, sekali gus menggalakkan pengurusan sisa yang lebih sistematik serta mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.

TINJAU PROGRAM… Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng meninjau proses pengumpulan minyak masak terpakai yang dibawa orang ramai sempena Kempen Pembelian Semula Bahan Kitar Semula hari ini. Foto Norman B

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menyempurnakan pelancaran kempen tersebut sejurus tiba pada 9.00 pagi.

Beliau kemudian mengadakan lawatan ke tapak program bersama wakil E-mart Tabuan Jaya sebelum menyempurnakan gimik pelancaran sebagai simbolik bermulanya kempen berkenaan.

Penganjuran kempen itu bertujuan memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan kitar semula dalam usaha memelihara kebersihan alam sekitar, di samping menggalakkan orang ramai mengasing dan menjual bahan yang masih mempunyai nilai untuk dikitar semula.

SAMBUTAN MENGGALAKKAN… Orang ramai membawa minyak masak terpakai untuk dijual semula sempena Kempen Pembelian Semula Bahan Kitar Semula hari ini. Foto Norman B

Pelbagai jenis bahan diterima sepanjang kempen tersebut, termasuk kertas, plastik, tin aluminium, minyak masak terpakai serta barangan elektrik dan elektronik terpakai (e-waste), sekali gus memberi peluang kepada orang ramai menukar bahan buangan kepada pulangan tunai di samping memastikan sisa berkenaan diurus dan dilupuskan secara lebih bertanggungjawab.

Inisiatif itu turut mencerminkan komitmen berterusan MBKS dan E-mart Tabuan Jaya dalam memperkukuh kerjasama bersama komuniti bagi membudayakan amalan pengurusan sisa yang mampan, selain menggalakkan penyertaan orang ramai dalam usaha memelihara kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Menurut penganjur, kempen itu akan diteruskan secara bulanan dengan kerjasama MBKS pada 12 Ogos, 9 September, 14 Oktober, 18 November dan 9 Disember 2026 sebagai usaha berterusan membudayakan amalan kitar semula serta meningkatkan penyertaan masyarakat dalam menjaga alam sekitar.

Oleh Norman B