Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Kempen Keselamatan Jalan Raya Bahagian Samarahan fokus kesedaran pengguna sempena perayaan Gawai
  • Selatan
  • WILAYAH

Kempen Keselamatan Jalan Raya Bahagian Samarahan fokus kesedaran pengguna sempena perayaan Gawai

Utusan Sarawak 1 day ago
AHLI Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee ketika ditemui media pada Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya Bahagian Samarahan 2025, hari ini. -Foto UKAS

GEDONG: Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya Bahagian Samarahan 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Simpang Jambatan Gedong/Kampung Kanchong hari ini dengan tumpuan utama diberikan kepada usaha meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya menjelang sambutan perayaan Hari Gawai.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dalam satu acara ringkas yang melibatkan agihan sebanyak 34 buah topi keselamatan dan 45 beg cenderamata kepada para pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.

Langkah ini merupakan simbolik kepada komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan khususnya pada musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.

Program ini adalah hasil kerjasama erat antara Pejabat Residen Bahagian Samarahan dan Pejabat Daerah di bawah Jawatankuasa Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Samarahan yang telah merangka pelbagai pendekatan bersifat mendidik dan menyedarkan masyarakat berhubung kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas.

Ketika ditemui media, Rodiyah menegaskan bahawa kempen keselamatan jalan raya seumpama ini bukan sahaja bersifat simbolik malah memainkan peranan penting dalam menanam sikap bertanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya terhadap keselamatan diri dan orang lain.

“Usaha seperti ini penting lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan seperti Hari Gawai di mana kebanyakan masyarakat akan pulang ke kampung halaman. Justeru, kesedaran tentang kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya harus sentiasa diberi penekanan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa statistik kemalangan jalan raya di Bahagian Samarahan bagi tempoh Januari hingga April 2025 menunjukkan peningkatan yang membimbangkan, dengan sejumlah 480 kes kemalangan direkodkan termasuk empat kes yang melibatkan kehilangan nyawa.

“Statistik ini menunjukkan bahawa masih ramai pengguna jalan raya yang mungkin memandang ringan aspek keselamatan. Oleh itu, saya menyeru semua pihak sama ada penunggang motosikal, pemandu kenderaan persendirian mahupun komersial agar sentiasa peka dan patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan demi keselamatan bersama,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau, program seumpama ini akan terus dilaksanakan secara berterusan dengan penglibatan lebih banyak agensi berkaitan, termasuk pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar mesej keselamatan jalan raya dapat disampaikan secara lebih meluas dan berkesan kepada masyarakat.

Dengan penganjuran program seperti ini, pihak penganjur berharap agar masyarakat akan lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap keselamatan jalan raya sekali gus membantu mengurangkan statistik kemalangan serta menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Turut hadir, Wakil Residen Bahagian Samarahan Merangkap Ketua Unit Transformasi Sosial Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Hasanal Abdul Wahid, Ketua Bahagian Kanan (Pengurusan), Jabatan Pengangkutan Jalan Sarawak, Christopher Alex Boniface Barau, Ketua Balai Polis Daerah Simunjan, DSP Rafhan Kepli, Wakil Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Negeri Sarawak, Faizul Azri Suhaili, Wakil Kementerian Pengangkutan Sarawak Raymond Mejang, Ketua-Ketua Jabatan serta Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat. -UKAS

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: JPS, MAKSAK anjur program Hari Raya Korban 1446H
Next: Rodiyah serah dana RM120,000 kepada 40 JKKK bagi Daerah Gedong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.