
SARIKEI: Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei melaksanakan Kempen Iboh Ceridak bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengendali makanan dan orang awam mengenai langkah pencegahan keracunan makanan.
Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei, Dr. Johny Kelak, berkata keracunan makanan merupakan penyakit yang berlaku akibat memakan makanan yang tercemar dan langkah pencegahan perlu diberi perhatian serius, khususnya melibatkan makanan berisiko tinggi.
“Keracunan makanan adalah penyakit yang berlaku akibat memakan makanan yang tercemar.
“Faktor-faktor yang meyebabkan makanan boleh tercemar adalah menggunakan bahan mentah yang tercemar dengan kuman, menyediakan makanan dengan cara yang tidak bersih, menggunakan peralatan yang kotor, menghidangkan makanan dengan cara yang tidak bersih dan menyimpan makanan dengan cara yang tidak sempurna,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau bersama kakitangan Pejabat Kesihatam Sarikei turut turun padang mengagihkan risalah berkaitan kempen tersebut kepada para peniaga di Bazar Ramadan Majlis Daerah Sarikei (MDS) pada semalam.
Kempen tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh.
Tambah Johny, pelbagai cara promosi telah dijalankan oleh pihaknya.
Antaranya ceramah, hebahan dan edaran risalah supaya pengendali makanan dan masyarakat awam peka terhadap langkah-langkah untuk mengelakkan keracunan makanan.
“Selain itu, makanan berisiko tinggi seperti umai, kerabu kaki ayam dan makanan berasaskan santan perlu lebih diberi perhatian dari segi pemilihan bahan mentah yang segar, proses pengendalian yang bersih dan selamat, suhu dan masa semasa penyimpanan atau penghidangan untuk menjaga keselamatan makanan.
“Objektif kempen adalah untuk meningkatkan kesedaran pengendali makanan supaya menjaga kebersihan diri dan mengamalkan pengendalian makanan yang bersih dan selamat bagi membendung wabak keracunan makanan.
“Ia juga bertujuan memastikan makanan berisiko tinggi seperti umai, kerabu kaki ayam dan makanan berasaskan santan dimasak atau disediakan dengan cara yang bersih dan selamat.
“Kempen ini juga bertujuan mewar-warkan kepentingan mengamalkan lihat, hidu dan easa kepada pelanggan untuk mengenal pasti makanan yang rosak atau basi,” katanya.
Katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh merujuk laman Facebook rasmi https://www.facebook.com/bkkmsarawak atau menghubungi Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei di talian 084-651086.
“Sebarang aduan berkaitan keselamatan makanan juga boleh dibuat melalui platform Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://pcb.spab.gov.my/ atau https://talikhidmat.sarawak.gov.my/ bagi memastikan isu keselamatan makanan dapat ditangani dengan segera,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek