
SARIKEI: Sekumpulan pelajar Pendidikan Jarak Jauh Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam Universiti Utara Malaysia (UUM) dari Pusat Kuching dan Sibu akan menganjurkan Kempen Derma Darah bertemakan ‘Satu Titik, Seribu Makna’ pada 22 Jun ini.
Program tersebut akan berlangsung dari 9.00 pagi hingga 1.00 petang di Dewan Serbaguna Kampung Baru Seberang, Sarikei, dengan kerjasama Hospital Sarikei dan Public Medicare Group (PMG), antara penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan utama di kawasan ini.
Menurut kenyataan penganjur, kempen ini bukan sahaja bertujuan menambah bekalan darah di hospital dan pusat perubatan tempatan, tetapi juga untuk memupuk kesedaran, keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.
“Setiap titisan darah yang didermakan mampu menyelamatkan sehingga tiga nyawa. Ia bukan sekadar sumbangan fizikal, tetapi tanda kasih sayang kepada insan yang memerlukan,” kata wakil pelajar berkenaan.
Sebagai tanda penghargaan, sijil penyertaan dan pemeriksaan kesihatan percuma akan disediakan kepada penderma yang hadir.
Inisiatif ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat mencerminkan semangat ‘Bakti untuk Negara’ yang semakin berkembang dalam kalangan belia.
Orang ramai di sekitar Sarikei yang berusia 18 hingga 60 tahun, sihat tubuh badan dan memenuhi syarat pendermaan darah dijemput hadir menyokong program ini.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Encik Afiq Saman di talian 013-814 2331.
Oleh Clarissa Ima