

BINTULU: Warga setempat dipelawa menyertai kempen derma darah yang akan berlangsung hujung minggu ini di dua lokasi berasingan sebagai usaha membantu menambah bekalan darah di Hospital Bintulu.
Menurut kenyataan Tabung Darah Bintulu, bekalan darah semasa memerlukan sokongan berterusan daripada orang ramai bagi memastikan keperluan pesakit sentiasa mencukupi, khususnya bagi kes kecemasan dan rawatan berjadual.
Program pertama dijadualkan berlangsung esok (28 Mac) di Sunmow Construction Sdn. Bhd., Paragon, bermula 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Kempen tersebut terbuka kepada semua orang awam dengan kehadiran penderma secara ‘walk-in’ dialu-alukan.
Sementara itu, pada Ahad (29 Mac), satu lagi kempen akan diadakan di Hotel Promenade dari 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari, turut menyasarkan penyertaan masyarakat setempat termasuk golongan belia dan pekerja sektor swasta.
“Setiap sumbangan darah amat penting dalam menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan, pembedahan serta rawatan penyakit kronik,” kata kenyataan itu.
Selain itu, penderma diingatkan supaya membawa MyKad dan kad penderma (bagi penderma berulang), serta digalakkan mengambil makanan ringan dan minum air secukupnya sebelum menderma.
Kempen di Paragon turut menawarkan insentif kepada penderma awal sebagai tanda penghargaan, sekali gus diharap dapat menarik lebih ramai penyertaan.
Orang ramai digesa untuk tampil bersama keluarga dan rakan-rakan bagi menjayakan kempen ini, sekali gus memupuk semangat prihatin dan tanggungjawab sosial dalam komuniti.