
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) meneruskan penganjuran Kempen Beli Balik MPKS 2025 yang dijadualkan berlangsung setiap bulan bermula Januari hingga Disember depan dari 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Kempen tersebut bertujuan menggalakkan masyarakat setempat mempraktikkan amalan kitar semula di samping memastikan kebersihan persekitaran. Program ini dilaksanakan secara bergilir di beberapa lokasi sekitar Samarahan, Asajaya dan kawasan berhampiran.
Lokasi pertama telah diadakan pada 25 Januari di Desa Ilmu depan Pasar Uptown.
Seterusnya, program diteruskan pada 22 Februari di tempat letak kereta MPKS, 22 Mac di Pusat Komuniti Hijau Market Bandar Riyal, 26 April di Pusat Penjaja Tambirat dan 24 Mei di Tapak Uptown Asajaya.
Kempen berkenaan akan berlangsung di lokasi lain iaitu pada 21 Jun di Pusat Komuniti Hijau Market Bandar Riyal, 26 Julai di Desa Ilmu, 23 Ogos di tempat letak kereta MPKS, 27 September di kawasan letak kereta Pasa Raya Unaco Batu 9, serta 25 Oktober di Pusat Komuniti Hijau Market Bandar Riyal.
Bagi bulan November, program akan berlangsung pada 22 November di tempat letak kereta MPKS, manakala lokasi terakhir pada 20 Disember bertempat di Pusat Komuniti Hijau Market Bandar Riyal.
Penganjuran tahunan ini turut dijayakan dengan kerjasama komuniti hijau, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan, sekali gus menjadi platform mendidik masyarakat mengenai kepentingan kitar semula serta mewujudkan persekitaran yang lebih lestari.