BINTANGOR: Keindahan alam sekitar bukan sahaja boleh dijadikan sebagai kegiatan riadah dan rekreasi malah penyumbang utama untuk mengawal ekosistem terutama bagi keperluan manusia sejagat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing berkata, oleh itu adalah menjadi tugas semua pihak dalam menjaga dan memastikan alam sekitar agar tidak tercemar dan pada masa yang sama dapat memupuk semangat cintakan alam sekitar pada generasi muda zaman sekarang disamping meneruskan kesinambungan penjagaan khanazah alam.
“Kempen 3R anjuran Majlis Daerah Maradong dan Julau (MDMJ) adalah untuk menunjukkan kesediaan, iltizam dan keprihatinan kita semua terhadap usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta isu pemanasan global.
“Ia adalah sebagai tanda sokongan di atas usaha yang dilakukan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak di bawah Program Pembangunan dan Perhubungan Komuniti.
“Selain itu, ia adalah bagi meneruskan dan melebarkan lagi usaha kerajaan dalam memastikan keberkesanan kempen ini pada tahap yang optimum,” katanya ketika berucap di Program Kempen 3R, Katakan Tidak pada Beg Plastik, Penyedut Minuman Plastik (Straw) dan Styrofoam 2024 di Dewan Masyarakat Bintangor, hari ini.
Katanya, kempen tersebut bertujuan memupuk semangat memelihara alam sekitar dikalangan masyarakat awam semua supaya mencintai alam sekitar dan menjadikan kawasan Meradong yang bersih seperti slogan kata kitar semula “Go Green”.
“Ia juga dapat terapkan amalan kitar semula dan bebas pencemaran.
“Pada pendapat saya, pelaksanaan kempen 3R ini sudah tentu dapat mendatangkan faedah dan kesan jangka masa panjang yang terbaik untuk generasi kita pada masa hadapan disamping memupuk semangat memelihara alam sekitar dan semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan para peniaga dan orang awam.
“Ia juga menyasarkan premis makanan agar tidak lagi menggunakan penyedut minuman yang diperbuat daripada plastik dan menghapuskan penggunaan kotak styrofoam untuk membungkus makanan,” katanya lagi.
Tambahnya, pelbagai kesan positif diperolehi dengan pelaksanaan kempen seperti ini di mana ia dapat mengurangkan pembuangan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah yang mana menurut kajian oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, bahan buangan plastik merupakan penyumbang kedua terbesar jumlah pembuangan sampah di tapak pelupusan.
“Selain itu, pelaksanaan kempen ini juga mampu memelihara ekosistem kehidupan laut disamping memelihara rantaian makanan manusia.
“Hal ini kerana apabila bahan plastik terurai, ia akan mengeluarkan bahan beracun yang akan meresap ke dalam tanah atau air yang boleh mencemarkan sumber makanan manusia sekaligus memudaratkan kesihatan manusia.
“Selain daripada itu, pengurangan penggunaan plastik juga dapat mengurangkan penggunaan minyak petroleum untuk tujuan penghasilan plastik….di mana, penggunaan petroleum untuk menghasilkan plastik akan menjejaskan bekalan sumber itu sendiri,” katanya lagi.
Katanya, MDMJ turut mengadakan program kutipan e-waste dan kutipan bahan kitar semula bagi memantapkan lagi kempen 3R.
“Saya berharap agar orang ramai turut sama-sama mengambil bahagian di dalam program ini bagi menyokong insiatif kerajaan dalam memastikan alam sekitar kita terpelihara.
“Melalui program kutipan e-waste dan kutipan bahan kitar semula, orang ramai boleh menjual barang buangan elektrik atau elektronik dan barangan kitar semula disamping mengurangkan pembuangan sisa-sisa pepejal di tapak pelupusan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha MDMJ Noria Edie dan Pemanca Rapen Anga.
Oleh Earl Anek