Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Kemiskinan diundang jika hidup disalah pandang
  • RENCANA

Kemiskinan diundang jika hidup disalah pandang

Utusan Sarawak 8 hours ago
MUHAMMAD Irwani Mohd Amirsirifuddin 33, atau dikenali sebagai “Wan Sekerat” melayan pelanggan yang hadir untuk membeli buah-buahan yang dijual menggunakan motosikal roda tiganya di sekitar Bota dekat sini baru-baru ini. Dilahirkan dengan kaki kanan tidak berfungsi yang kemudian terpaksa dipotong di paras lutut susulan satu insiden, Muhammad Irwani tidak mengalah pada kehendak takdir. Sebaliknya, jejaka berusia 33 tahun dari Kampung Pulau Padang Bota Kiri ini meneruskan hidup seperti insan lain yang sempurna sifat, tanpa mengharapkan ihsan orang ramai ataupun pihak berwajib. Foto BERNAMA

HIDUP diumpamakan sebagai sebuah perjalanan. Jika kita mengemudinya dengan salah memilih arah, kita akan sampai ke destinasi yang salah.

Itulah hakikat kehidupan, jika salah cara kita melihat jalan kehidupan ini dan banyak perkara yang tidak kita lakukan dengan baik serta sempurna, maka kita boleh mengundang kemiskinan dan boleh menjadi teman tetap dalam perjalanan hidup kita.

Persoalannya, kenapa kemiskinan menjadi isu yang tidak pernah kunjung padam sejak zaman-berzaman lagi? Apakah sebenarnya kemiskinan?

Kelazimannya, sebahagian besar kita menganggap ketidakupayaan individu menampung keperluan hidup seharian sebagai miskin.

Dalam konteks yang lebih luas, kemiskinan bukan sekadar masalah ekonomi, tetapi sekaligus merupakan masalah sosial dan politik serta moral dan etika.

Kemiskinan mengancam kestabilan politik sesebuah negara yang berkait rapat dengan keresahan sosial.

Ini mengingatkan kita kepada hadis nabi yang memberi amaran bahawa kemiskinan boleh membawa kepada kekufuran.

Penulis memetik tokoh falsafah Inggeris, George Bernard Shaw, yang pernah berkata bahawa – the greatest of all evil and the worst of crimes is poverty (kemiskinan adalah syaitan yang paling jahat dan jenayah yang paling buruk).  

Mengambilkira semua perspektif itu, setiap masalah ada penyelesaian dan setiap penyakit ada penawarnya kecuali mati. Sewajarnya kita hendaklah membetulkan cara kita melihat kemiskinan melalui empat sudut seperti berikut:

Salah Pandang Tentang Erti Rezeki

Ramai yang menyangka rezeki hanya melibatkan duit. Akibatnya, apabila kita tidak mempunyai banyak duit di tangan, kita terus dianggap sebagai miskin.

Sedangkan maksud rezeki itu luas antaranya kesihatan, masa lapang, ilmu, keluarga yang menyokong, sahabat yang baik semuanya adalah rezeki yang boleh membawa kita kepada kekayaan jika dimanfaatkan.

Bila kita hanya fokus kepada wang, kita akan abaikan tentang peluang yang lain. Ada yang menolak kerja atas sebab “gaji tidak berbaloi”, padahal ia boleh menjadi batu loncatan ke arah masa depan yang lebih cerah. Akhirnya, kita duduk diam sambil menunggu peluang yang sempurna tidak kunjung tiba.

Oleh sebab itu, memahami rezeki bukan sekadar pada jumlah harta, tetapi pada keberkatannya, ketenangan yang mengiringinya dan bagaimana ia dapat mendekatkan kita kepada Tuhan.

Apabila salah pandang kita mengenai erti rezeki, kita akan mudah terjebak dalam keluh kesah dan tidak berpuas hati.

Sedangkan hakikatnya, setiap yang Allah beri kepada kita adalah mencukupi. Justeru, menjadi kewajipan kita mensyukuri dan menggunakannya pada jalan yang diredhai-Nya.

Malas Berusaha Dengan Banyak Beralasan

Kemiskinan juga boleh menimpa kita apabila seseorang tidak mahu berubah.

Sebagai contoh, perangai kita suka bangun lewat, tiada perancangan hidup, bekerja sambil lewa tetapi mengharapkan gaji besar dan kehidupan mewah.

Apabila gagal, mulalah menyalahkan takdir, kerajaan atau orang di sekeliling.

Sikap sebegini bukan saja menjauhkan rezeki, malah membantut usaha serta merosakkan semangat untuk maju.

Rezeki itu ibarat air dan ia tetap mengalir kepada siapa yang menggali telaga dan berusaha dengan gigih tanpa putus asa.

Jika alasan terus dijadikan pelindung kemalasan, maka kejayaan hanya akan tinggal angan-angan.

Jangan hairan kita mengundang kemiskinan hidup sebenarnya. Tiada jalan pintas untuk berjaya selain usaha yang berterusan dan kesungguhan mengatasi halangan.

Selagi kita memilih untuk berdalih, selagi itulah kita menolak peluang untuk maju dan membuka pintu kemiskinan.

Islam mengajar kita untuk berusaha dan bertawakal, bukan bersandar pada alasan semata-mata. Malas dan banyak beralasan hanya menjauhkan kita dari keberkatan hidup dan kejayaan yang hakiki.

Bangunlah, rezeki dan kejayaan tidak akan datang kepada orang yang hanya duduk tanpa usaha.

Gaya Hidup Melebihi Sumber Hasil

Adakala berlaku kita sendiri mengundang kemiskinan kerana gaya hidup yang tidak seimbang. Gaji sederhana, tetapi berbelanja seperti orang bergaji besar.

Nafsu untuk berbelanja tidak terkawal seumpama tiada esok baginya. Setiap tahun menukar telefon, minum kopi mahal dengan bergaya setiap pagi, baju berjenama setiap minggu. Akhirnya, gaji habis sebelum hujung bulan.

Kemiskinan bukan sekadar tiada duit, tetapi apabila kita tidak tahu mengurus apa yang ada pada kita. Hidup bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi untuk ala kadar mencukupi dan sentiasa berkat.

Apabila gaya hidup melebihi kemampuan, hidup akan dibelenggu dengan hutang dan resah akibat tekanan sehingga kegagalan mengurus kewangan dengan bijak.

Tiba masanya, kita menilai semula keutamaan berbelanja dan belajar hidup bersederhana agar kewangan lebih stabil, diri tenang dan berkat.

Rezeki yang sedikit tetapi diurus dengan rasa syukur lebih membawa kepada ketenangan berbanding hidup mewah yang berpaksikan hutang dan nafsu.

Gaya hidup harus selari dengan kemampuan, bukan didorong oleh persepsi atau kehendak semata-mata.

Malas Belajar Dan Tidak Minat Menambah Ilmu

Ilmu adalah pintu kepada kebanyakan rezeki. Tetapi jika kita tidak minat untuk belajar walaupun diberi secara percuma, kita akan terus berada di takuk lama.

Dunia begitu cepat berubah sama juga dengan teknologi yang semakin canggih. Jika kita kekal statik, maka peluang dan rezeki akan meninggalkan kita.

Perlu ingat belajar bukan hanya di universiti. Ia termasuk menghadiri kursus, giat mendengar ceramah, membaca buku, belajar dari pengalaman orang lain dan banyak saluran lain untuk menambah ilmu pengetahuan.

Jangan lupa, ilmu akan membuka jalan kepada kita dan memudahkan usaha kita mencari rezeki.

Jika kita bersikap malas belajar dan tidak mahu menambah ilmu pengetahuan, tidak hairan kita akan ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Ilmu adalah cahaya yang membimbing arah jalan kehidupan kita. Tanpa usaha mencarinya, kita akan terus berada dalam kegelapan kejahilan.

Ilmu tidak datang bergolek dan kejayaan tidak lahir tanpa usaha. Sikap tidak minat belajar hanyalah penghalang kepada potensi diri yang sebenar.

Hanya dengan rajin dan kesungguhan menuntut ilmu, kita akan mampu membina masa depan yang lebih cerah dan bermakna.

Secara langsung akan menutup pintu kemiskinan dan membuka jalan kejayaan kepada kehidupan kita.

Kemiskinan bukan semata-mata takdir, ia berpunca dari diri kita sendiri jika hidup disalah pandang. Ubah cara kita melihat kehidupan dan kehidupan akan membuka lebih banyak peluang.

Jangan asyik menunggu nasib berubah, tetapi jadilah orang yang mengubah nasib kita sendiri.

Ini kerana dalam setiap diri kita, ada potensi untuk berjaya. Jika kita berani melihat hidup dengan pandangan yang betul, dengan izin-Nya juga kita akan dapat berjaya di dunia yang cukup mencabar ini.

Sepertimana firman Allah yang bermaksud: “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 11)

Wallahu ‘alam Bissawab

Continue Reading

Previous: Sifat takbur racun hati yang membinasakan
Next: ‘Obsesi’ global terhadap matcha punca ladang teh di Jepun kering

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.