
Puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah SWT atas pelbagai nikmat yang dikurniakan ke atas kita. Pada hari ini, kita dikurniakan nikmat untuk dapat meraikan aidilfitri bersama-sama dengan seluruh umat Islam.
Aidilfitri disambut setelah kita berjaya melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan selama sebulan. Justeru itu, dalam tempoh sebulan pelbagai amalan baik telah dilakukan sementelahan amalan buruk ditinggalkan.
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran bahawa Dia memberikan pilihan kepada hamba-Nya dalam melakukan amalan baik ataupun buruk.
Malah, tidak ada paksaan bagi mereka. Firman-Nya yang bermaksud: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat. Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendaknya dan sesiapa yang menghendak (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (surah as-Syura ayat 20)
Ibadah puasa yang baru sahaja kita laksanakan itu adalah suatu bentuk pendidikan untuk menjadikan kita seorang yang bertakwa dan taat kepada perintah Allah SWT.
Sesungguhnya takwa adalah kayu ukur utama kemuliaan, kebahagiaan dan kesejahteraan seseorang. Bertetapan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Hujrat ayat 13 yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu terdiri daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa, bersuku, berpuak supaya kamu dapat berkelana (bermesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhna semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih tinggi takwanya diantara kamu (bukan kerana keturunan atau bangsa) sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi amat mendalam pengetahuanNya.”
MENYANTUNI PARA TETAMU
Dalam menyambut kemeriahan Aidilfitri ini, pasti ramai ahli keluarga mahupun sahabat yang datang berkunjung ke rumah. Oleh itu, muliakanlah mereka kerana sesungguhnya tetamu datang membawa rezeki.
Rasulullah SAW sangat menyanjungi mereka yang memuliakan tetamu. Berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka jangan sakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Juga sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Juga sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau hendaklah dia diam.” (riwayat Bukhari)
Imam al-Nawawi berkata: “Melayan tetamu adalah sunnah. Jika seseorang bertandang ke rumahnya dan tidak ada mudarat baginya, sunat baginya untuk melayan tetamu tersebut.”
MERAPATKAN SILATURAHIM DENGAN ZIARAH MENZIARAHI
Diantara sunnah yang dapat kita lakukan pada hari raya Aidilfiri ini yang digalakkan oleh Nabi SAW adalah ziarah menziarahi. Ini kerana, ianya dapat menyuburkan sifat kasih sayang dan saling peduli serta dapat mengeratkan ukhuwah.
Malahan, Baginda SAW mengingatkan kita mengenai perkara ini. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melawat orang yang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah maka nanti akan diseru dengan kata-kata engkau akan dapat kebaikan, perjalanan engkau akan dipermudahkan dan disediakan tempat kau di syurga.”
Demikian itu, sebelum memulakan perjalanan hendaklah memilih waktu yang tepat untuk datang berziarah. Berdasarkan hadis Baginda SAW: “Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia maka Allah SWT akan melepaskan kesusahannya pada hari akhirat.” (riwayat Tirmizi)

SAAD BIN ABI WAQQAS DAN KEINDAHAN AKHLAKNYA
Hasil didikan dari Rasulullah SAW sejak usia mudanya, Saad bin Abi Waqqas memiliki akhlak yang sangat indah. Beliau bersifat tawaduk, zuhud, mengambil berat terhadap keluarganya, mencintai orang-orang beriman, dermawan, berlapang dada, amat mentaati perintah pemimpinnya, menghormati sahabat-sahabat Rasulullah dan banyak lagi sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Saad bin Abi Waqqas.
Saad bin Abi Waqqas merupakan seorang insan yang warak dalam kehidupannya. Beliau mentaati setiap perintah Allah dan RasulNya. Imam At Tabrani telah meriwayatkan dari Mush’ab bin Saad bahawa beliau berkata, “Ayahku (Saad bin Abi Waqqas) jika bersolat di masjid (solat fardu), nescaya dia akan meringankan solat (memendekkan masa solat) dengan rukuk dan sujud yang sempurna.
Namun, apabila beliau solat di rumah (solat sunat), nescaya beliau akan memanjangkan solatnya dengan rukuk dan sujud yang lama. Aku bertanya kepadanya, “Wahai ayah, kenapa engkau meringankan solatmu di masjid dan memanjangkan solatmu di rumah?”. Beliau menjawab, “Wahai anakku, kami (para sahabat) adalah pemimpin (contoh) yang akan diikuti”.
Begitu juga dengan riwayat dari Aisyah binti Saad sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan At Tabari, Aisyah binti Saad telah berkata bahawa Saad bin Abi Waqqas selalu mengerjakan solat dhuha sebanyak lapan rakaat.
Manakala sebelum beliau tidur pula, beliau akan mengerjakan solat witir sebanyak satu rakaat. Di tengah-tengah malam pula, Saad bin Abi Waqqas akan bangun untuk mengerjakan solat tahajud.
Saad bin Abi Waqqas juga sangat teliti dalam soal halal dan haram rezeki yang diperolehinya. Muhammad Aid Ad Dimasyqi dan Ibnu Asakir meriwayatkan dari Saad bin Abi Waqqas bahawa beliau pernah berkata kepada Rasulullah mintalah kepada Allah “Wahai Rasulullah, agar Dia mengabulkan doaku”. Baginda pun menjawab, “Wahai Saad, sesungguhnya Allah tidak akan mengabulkan doa seorang hamba hingga makanan yang dimakannya menjadi baik (halal)”. Saad bin Abi Waqqas pun berkata, “Wahai Rasulullah, mintakanlah kepada Allah agar Dia menjadikan makananku baik. Sesungguhnya aku tidak akan mampu melakukan sedemikian kecuali dengan doamu”. Maka Rasulullah pun berdoa, “Ya Allah, berikanlah kebaikan dalam makanan Saad.” Sejak itu, jika Saad bin Abi Waqqas mendapati ada sesuatu makanan yang disediakan untuk haiwan ternakannya dari sumber yang tidak pasti, nescaya beliau akan mencegah haiwan ternakannya daripada memakan makanan tersebut. Walaupun hanya setangkai gandum.
Oleh Hanzalah Azman