
KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara kini dalam peringkat akhir merangka akta khusus untuk mengawal selia aktiviti di muzium di seluruh negara, kata Menteri berkenaan Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata akta itu yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada November tahun ini, bertujuan menyediakan rangka kerja perundangan yang jelas untuk muzium dan memastikan ia diuruskan dengan berkesan dan mampan.
Aaron berkata matlamat kementerian ialah mewujudkan muzium yang bukan sahaja bersifat pendidikan, tetapi juga menyediakan ruang transformatif yang memberi inspirasi kepada kreativiti, pemikiran kritis dan penghargaan mendalam terhadap nilai kemanusiaan bersama.
“Kementerian komited memastikan muzium kita mencerminkan nilai keterangkuman, kebolehcapaian, kemampanan, dan kepelbagaian.
“Kita akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Muzium untuk membangunkan dan melaksanakan strategi yang sejajar dengan prinsip ini, iaitu meningkatkan kebolehcapaian, mempromosikan naratif inklusif, melaksanakan amalan mampan dan menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti muzium dan proses membuat keputusan,” katanya dalam ucapan pada Seminar Hari Muzium Antarabangsa Malaysia 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, pada sidang media, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata akta berkenaan juga mencadangkan penubuhan Majlis Muzium yang berperanan sebagai badan penasihat dan penyeliaan bagi penubuhan dan operasi institusi muzium di negara ini.
Kamarul Baharin berkata walaupun Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) mengawal perkara berkaitan tapak warisan, monumen serta warisan ketara dan tidak ketara, ia tidak merangkumi aspek peraturan dasar muzium secara keseluruhan.
“Akta ini dirangka mengikut standard antarabangsa dan kita mengambil kira amalan di negara lain … kita juga mahu wujudkan sistem penarafan serta kawal selia pengoperasian muzium-muzium baharu terutama muzium persendirian yang mungkin membawa naratif atau aliran bertentangan dengan dasar negara,” katanya.
Seminar Hari Muzium Antarabangsa Malaysia 2025 diadakan bersempena dengan sambutan tahunan Hari Muzium Antarabangsa yang diraikan secara global pada 18 Mei setiap tahun.
Bertemakan The Future of Museums in Rapidly Changing Communities, sambutan tahun ini mencerminkan peranan muzium yang berkembang di dunia oleh transformasi sosial, teknologi dan alam sekitar.
Dianjurkan dengan kerjasama institusi terkemuka seperti Majlis Muzium Antarabangsa Malaysia (ICOMMAL) dan Lembaga Muzium Negeri Kedah, seminar berkenaan bertujuan mengetengahkan peranan utama muzium dalam pertukaran budaya, kefahaman bersama dan keamanan global.
Acara itu menarik kira-kira 300 peserta termasuk pengamal muzium, penyelidik, ahli akademik, dan pelajar daripada institusi pendidikan tinggi dan syarikat swasta yang terlibat dalam pendigitalan muzium.
-Bernama