KUCHING: Kementerian Pengangkutan akan berusaha mengurangkan kesan pembinaan Garisan Merah bagi projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) kepada pengguna jalan raya.
Menterinya, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, antara yang sering berlaku adalah seperti kesesakan lalu lintas dan isu keselamatan pengguna jalan raya.
Katanya, pembinaan Garisan Merah bagi projek KUTS ini melibatkan jalan raya di kawasan bandar yang sibuk iaitu di sekitar Jalan Simpang Tiga.
“Oleh itu, saya tekankan kepada kontraktor, sekiranya ada lorong jalan yang perlu ditutup bagi tujuan pembinaan, pastikan jalan alternatif sudah disediakan dahulu.
“Sebagai contoh, sekiranya dua lorong jalan akan ditutup, anda mesti sediakan dua lorong alternatif dahulu bagi menggantikan lorong yang ditutup. Jadi, kesan daripada pembinaan tersebut twrhadap aliran trafik boleh dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melawat Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) Garisan Merah KUTS di sini, hari ini.
Mengulas mengenai isu keselamatan sekitar kawasan projek pula, beliau menggesa agar pihak kontraktor sentiasa menepati standard keselamatan jalan raya yang telah ditetapkan.
“Saya mahu agar pihak kontraktor menyediakan papan tanda yang diperlukan di sekitar kawasan pembinaan, lampu amaran khususnya pada malam hari dan banyak lagi.
” Jadi ini perlu dipatuhi bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, “katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menegaskan agar pihak kontraktor untuk memantau pembangunan projek tersebut dengan teliti bagi mengelakkan dan mengurangkan isu kelewatan.
Katanya, pihak Sarawak Metro akan menghantar laporan berkaitan kemajuan projek setiap minggu kepada kementeriannya.
“Sekiranya mereka(kontraktor) mengesan ada kelewatan, saya mahu Sarawak Metro dan juga jurutera dari kementerian saya untuk meneliti perkara ini.
“Pihak perunding juga perlu memainkan peranan dalam memastikan kerja-kerja dijalankan mengikut spesifikasi.
“Pada masa sama, menyelia kemajuan kerja untuk melihat punca kelewatan, ia perlu diperbetulkan serta merta, jangan tunggu sehingga projek ini 20, 30 perarus dibelakang jadual.
“Kami mahu projek ini disiapkan tepat pada masa yang ditetapkan. Oleh itu setiap pihak yang terlibat perlu menyelia dengan teliti projek ini,” katanya.
Fasa satu projek KUTS terdiri daripada tiga garisan, iaitu Garisan Biru sepanjang 27.6 kilometer(km) dari Rembus ke Hikmah Exchange dengan 15 stesen, Garisan Merah 12.3km dari Kuching Sentral ke Pending dengan 7 stesen dan Laluan Hijau 30km dari Pending ke Damai Central dengan 9 stesen.
Oleh Shahrul Qaizat