Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kementerian Pengangkutan digesa semak semula pelaksanaan Peranti Had Laju Lori di Sarawak
  • SEMASA

Kementerian Pengangkutan digesa semak semula pelaksanaan Peranti Had Laju Lori di Sarawak

Utusan Sarawak 1 day ago
SESI DIALOG… Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI), Dato Lau Cheng Kiong (enam kiri) ketika sesi dialoq bersama pengusaha lori malam tadi.

SIBU: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI) menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) mengkaji semula pelaksanaan menyeluruh Peranti Had Laju Lori (SLD) dan mengambil kira keadaan sebenar operasi serta keadaan jalan raya di Sarawak.

Presidennya, Dato Lau Cheng Kiong berkata, hasil sesi dialog bersama pengusaha lori tempatan malam tadi, mendapati kebanyakan pengusaha berpandangan keadaan jalan raya di Sarawak yang masih didominasi laluan dua hala satu lorong adalah berbeza berbanding Semenanjung Malaysia.

Katanya, keadaan tersebut menyukarkan lori yang dipasang SLD untuk memotong kenderaan lain, sekali gus berpotensi menyebabkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan risiko kemalangan.

“Pelaksanaan menyeluruh SLD tanpa mengambil kira perbezaan keadaan jalan raya setempat dilihat tidak sesuai dan bercanggah dengan matlamat asal untuk meningkatkan keselamatan jalan raya,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kos pemasangan dan penyelenggaraan sistem SLD yang tinggi turut membebankan pengusaha kecil, terutama dalam keadaan kos operasi yang terus meningkat.

“Kebanyakan peranti pula hanya mempunyai tempoh jaminan yang singkat dan berisiko mengalami kerosakan selepas beberapa tahun penggunaan.

“Sehubungan itu, SCCCI mencadangkan agar kerajaan menyediakan mekanisme subsidi atau bantuan kewangan sekiranya dasar tersebut diteruskan bagi mengurangkan beban kewangan pengusaha,” ujarnya.

Lau berkata, pihak industri turut mencadangkan agar pelaksanaan SLD dibuat secara berperingkat mengikut tan muatan dan jenis penggunaan lori.

“Lori penghantaran jarak dekat seperti yang membawa bahan binaan dan beroperasi dalam kawasan bandar wajar dipertimbangkan untuk dikecualikan.

“SCCCI turut mencadangkan agar MOT menetapkan beberapa model SLD yang standard, berharga munasabah dan mudah dipasang bagi memastikan kos dapat dikawal serta pematuhan dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Lau berkata, pengusaha turut membangkitkan isu penyelarasan had muatan lori di Sarawak yang masih belum dimuktamadkan, walaupun kenyataan mengenainya telah dibuat sebelum ini, sekali gus menimbulkan kekeliruan dari segi operasi dan penguatkuasaan.

“SCCCI dan pengusaha lori sebulat suara menggesa MOT mengadakan rundingan menyeluruh bersama pemain industri serta menyediakan tempoh peralihan yang munasabah sebelum sebarang pelaksanaan dasar dilakukan.

“Keselamatan jalan raya dan kelangsungan industri perlu bergerak seiring. Dialog serta pendekatan mengikut keadaan setempat amat penting bagi merangka dasar yang praktikal,” kata beliau.

Oleh Akun Giman

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Sabah–Sarawak perkukuh kerjasama, bentang operasi AirBorneo
Next: Gempa bumi magnitud 5.5 landa utara Peru

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.