
Sebuah pesawat Air India dilapor terhempas sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di negeri barat India, Gujarat. - Foto indiatoday.in
PUTRAJAYA: Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia berada dalam pesawat Air India penerbangan AI171 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Ahmedabad ketika berlepas pada Khamis.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapi perkembangan insiden berkenaan dan akan menyalurkan maklumat dikemas kini sekiranya perlu.
Bagi sebarang bantuan konsul, Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai boleh dihubungi di alamat Unit 12A1, Unit 12A2 dan Unit 12A3, Tingkat 13, Bangunan Supreme Headquarters, Jalan 14 dan 33 berhampiran Link Square Mall, Bandra West, 400 050 Maharashtra, India atau menerusi talian +91 22 6996 5757 (Pertanyaan Am) atau e-mel ke mwmumbai@kln.gov.my.
Laporan Bernama dari New Delhi sebelum ini menyatakan bahawa sebuah pesawat Air India dalam penerbangan ke London yang membawa 242 orang termasuk 12 anak kapal telah terhempas sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad di negeri Gujarat, barat India pada Khamis.
Penerbangan AI171 itu berlepas pada pukul 1.38 tengah hari waktu tempatan, menurut kenyataan syarikat penerbangan itu.
Pesawat Boeing 787-8 yang terhempas itu membawa 169 warga India, 53 warga British, seorang warga Kanada dan tujuh rakyat Portugal.
— BERNAMA