Kementerian dan agensi diminta percepat, mudahkan urusan persiapan F1 – KSN

Facebook
WhatsApp
F1 GP Bahrain Sepang. Foto AFP.

KUALA LUMPUR: Semua kementerian dan agensi berkaitan diminta mempercepat serta memudah cara urusan dan kelulusan yang masih tertangguh menjelang Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia yang berbaki sekitar tiga minggu lagi. 

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi hantaran di Facebook berkata arahan itu dibuat ketika persiapan bagi perlumbaan berkenaan memasuki fasa akhir meliputi kesiapsiagaan litar dan keselamatan, pengurusan trafik serta pengunjung dan aspek teknologi.

“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk petang ini, saya meminta semua kementerian dan agensi mempercepat serta memudah cara segala urusan dan kelulusan yang masih tertangguh, tanpa berkompromi terhadap prosedur, keselamatan dan tatacara.

“Koordinasi rentas kementerian dan agensi dalam tempoh kritikal ini mesti berada pada tahap terbaik, dengan kebajikan dan keselamatan para sukarelawan yang bertugas sepanjang acara turut diberi perhatian sewajarnya,” kata beliau. 

Malaysia bakal kembali menyaksikan aksi F1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas sembilan tahun menerusi penganjuran Grand Prix F1 Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober ini.

SIC sebelum ini menjadi gelanggang Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan.

Kembalinya perlumbaan berprestij itu ke Malaysia adalah hasil kejayaan diplomasi antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al-Khalifa. – Bernama