
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat boleh membantu menyalurkan kebimbangan serta rayuan ibu bapa kepada pihak berkuasa sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah dalam kes amang seksual melibatkan kanak-kanak.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, perkara tersebut boleh disuarakan kepada pihak Jabatan Peguam Negara Malaysia untuk pertimbangan lanjut.
“Apabila ibu bapa tidak berpuas hati, mereka boleh merayu. Pihak kementerian pula boleh menyuarakan perkara ini kepada pihak Peguam Negara untuk pertimbangan lanjut,” katanya pada Program Pemerkasaan Komuniti Etnik, di Kampung Pasir Panjang, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kes melibatkan seorang penjaga rumah kebajikan kanak-kanak yang mengaku bersalah atas 15 pertuduhan amang seksual terhadap lima kanak-kanak lelaki di Ampang.
Dalam masa sama, seorang lagi individu iaitu pemilik rumah kebajikan berkenaan mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM30,000 dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Jun depan.
Nancy menegaskan bahawa penderaan seksual terhadap kanak-kanak adalah kesalahan serius dan tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak.
“Sebagai kerajaan, kita sentiasa komited dalam menangani isu ini. Namun keputusan mahkamah adalah di luar bidang kuasa kementerian,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebarang tindakan lanjut termasuk rayuan bergantung kepada penilaian pihak Jabatan Peguam Negara berdasarkan fakta kes dan keputusan mahkamah.
“Saya sendiri perlu membaca keputusan mahkamah dan memahami rasional di sebalik hukuman tersebut sebelum memberi sebarang pandangan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang penjaga rumah kebajikan mengaku bersalah atas 15 pertuduhan amang seksual melibatkan lima kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 13 tahun.
Nancy turut menegaskan bahawa usaha berterusan perlu diperkukuh bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang serta memberi perlindungan lebih baik kepada golongan kanak-kanak.
Oleh Shahrul Qaizat