Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Kemenjadian dalam Kesederhanaan
  • WBS

Kemenjadian dalam Kesederhanaan

Utusan Sarawak 2 years ago

Oleh: Mohidin Haji Malek

DALAM sistem komunikasi, keberkesanan penyampaian apa-apa juga perkara atau maklumat daripada pemberi atau penyampai kepada penerima atau khalayak, amat penting. Lantaran itu, tidak hairan sekiranya dalam urus tadbir atau tatakelola jabatan, perkara tersebut diberikan penekanan yang serius. Dalam urusan yang rasmi sifatnya, kesilapan dalam penerimaan atau pentafsiran sesuatu maklumat boleh menimbulkan kekeliruan dan malah kecelaruan yang mampu mengganggu kelancaran serta kelicinan perkhidmatan. Hal ini sedapat mungkin cuba dielakkan oleh mana-mana jua jabatan, organisasi mahupun kementerian. 

Menurut Hisyam al-Talib (1992), komunikasi ialah “membenarkan orang lain mengetahui tentang diri kita dan membenarkan mereka untuk saling memahami dengan kita. Sekiranya ini berlaku, mereka akan menghormati kita. Walau bagaimanapun, proses ini melibatkan perkongsian pemikiran (idea) dan perasaan dengan orang lain secara jujur.”  Manakala mengikut Mohd Yusof Othman (2003), “hasil komunikasi yang baik akan mewujudkan perkongsian pemikiran dan berkemungkinan akan mengubah sikap dan perangai pendengar.” Oleh sebab itu, komunikasi amat penting dalam kehidupan harian bagi tujuan perhubungan, penyampaian maklumat dan pemerolehan maklumat serta interaksi sosial.

              Komunikasi boleh bersifat verbal atau lisan dan komunikasi bukan lisan atau non-verbal. Bentuk komunikasi non-verbal adalah seperti tulisan, simbol, ekspresi muka, pandangan mata, cara pemakaian, gerak-geri anggota badan, nada dan seumpamanya (Abdullah Hassan dan Ainon, 2001). 

            Dalam konteks dunia kepengarangan, sama ada dalam genre novel, cerpen, puisi, makalah dan seumpamanya, pengkarya menghasilkan tulisan sebagai luahan perasaan atau naratif berkias tentang apa-apa juga perkara atau peristiwa yang sama ada disaksikan berlaku, mahupun yang dialami sendiri oleh pengkaryanya dengan harapan akan ada insan yang memahami lontaran idea atau buah fikirannya. Hal yang sedemikian selari dengan kenyataan Hisyam di atas.

            Dengan mengambil kira akan hakikat yang sedemikian, dalam penghasilan karya, aspek kejelasan mesej yang ingin disampaikan perlu diberikan perhatian serius. Hal yang sedemikian telah berulang kali diperkatakan, bukan sahaja oleh penulis makalah ini sendiri, malah oleh pengulas-pengulas lain yang lebih tersohor dan berwibawa. Namun, seakan-akan pesanan dan gesaan ini tidak begitu diambil berat oleh pengkarya. Mungkin disebabkan (seperti yang diandaikan sebelumnya), keterujaan seseorang pengkarya apabila idea datang ‘menerjah’. Lantas, apa-apa yang terlintas dalam fikiran, dinukilkan dan dihantar tanpa mengambil kira aspek yang penulis istilahkan sebagai ‘pengeraman’ dengan memasukkan nilai pemurnian dan penambahbaikan. Hal yang sedemikian lazim bagi kebanyakan pengkarya yang baru berjinak-jinak menulis (mungkin tidak semua).  

            Menulis memerlukan minat yang mendalam atau passion dalam bahasa Inggerisnya. Di samping itu, menulis turut menuntut pengetahuan serta kemahiran dalam bidang kebahasaan, iaitu bahasa Melayu. Kemahiran berbahasa berupaya ‘membijaksanakan’ seseorang pengkarya memilih dan memanupulasikan diksi-diksi untuk membina sama ada frasa-frasa, bait-bait mahupun ayat-ayat yang indah yang mampu memancing dan menambat khalayak pembaca. Namun demikian, perlu diingatkan bahawa keindahan binaan struktur ayat atau bait tidak menjamin kesampaian mesej yang ingin diketengahkan oleh pengkarya. Aspek keseimbangan idea serta keselarasan penyampaian naratif atau ceritanya harus turut dijaga dan dikawal.

            Seperkara yang sering terbias daripada akal fikir kebanyakan pengkarya baharu ialah aspek kajian (research). Hal yang sedemikian menyangkut aspek pemilihan imejan atau perlambangan, khususnya bagi penulisan sajak. Ramai yang menganggapnya sebagai tidak begitu penting, namun dalam konteks memahami dengan mendalam ciri-ciri, biologi mahupun sifat imejan yang diguna pakai, setidak-tidaknya pembacaan yang mendalam tentangnya perlu dilakukan. Hal ini sedikit sebanyak menyangkut isu kesesuaian atau kepersisan penggunaannya.  Keterbatasan ruang tidak memungkinkan pembicaraan hal yang sedemikian secara mendalam kali ini.

            Lanjutan daripada apa-apa yang diperkatakan, muluk dialihkan fokus kepada tiga buah sajak yang tersiar dalam ruangan ini pada minggu lalu. Sajak-sajak berkenaan ialah “Di Saat Kunanti” karya saudara Saleh Muslim, “Lelah” nukilan saudara Danial Haziq Izzuddin, dan “Bidadari di Ranjang” tulisan Awang Alfizan. 

            Sajak “Di Saat Kunanti” nukilan saudara Saleh Muslim berupa telahan pengkarya sekiranya berlaku ‘perpisahan’ antara dirinya dengan ‘kau’. Sajak ini bersifat daifan atau polos, atau dengan erti kata lain, mudah difahami kerana pengkaryanya tidak menerapkan bahasa kiasan. Tidak banyak yang mampu diperkatakan tentang sajak. Luahan perasaan saudara Saleh Muslim bukanlah suatu cerita baharu, akan tetapi nadanya serta rentaknya pernah diketengahkan oleh beberapa orang pengkarya sebelumnya. Nasihat buat saudara Saleh, bebaskan diri daripada belenggu kebiasaan atau tipikalisme.  Dipapar semula sajak berkenaan yang ternukil seperti yang berikut;   

Di Saat Kunanti

Di saat tanpaku nanti

kaukan berjumpa apa yang kau suka

namun takkan pernah sama

yang kita lalui bersama.

Di saat tanpaku nanti

jika kau bersedih, sendiri

dan rasa khuatirkan sesuatu

dan kau masih mengingatiku

kirimkanlah berita buatku

di aplikasi biru

daku sedia mendengar kesulitanmu.

Di saat tanpamu nanti

kan daku tabahkan hatiku

menempuh ranjau perjalanan hidup ini

meski tanpamu disisi.

Di saat tanpamu nanti

daku yakin pasti suatu masa

akan ada sinar cahaya

kitakan bertemu semula

ku kan mendakapimu mesra

dan meneruskan hidup bersama

kalau tak di dunia

di akhirat sana nanti

pasti ketemu jua.

            Beralih kepada sajak “Lelah” oleh Danial Haziq Izzuddin, sajak ini lebih bersifat prismatis atau agak sulit untuk difahami. Untuk memahami sajak ini memerlukan pemahaman tentang latar pengkaryanya. Danial ialah pelajar di salah sebuah institusi pengajian di negeri ini.  Bersandarkan hakikat yang sedemikian, sajak beliau berupa luahan perasaan siswa yang ‘mengibaratkan’ dirinya (dan mungkin siswa dan siswi lain) ‘ternakan’ yang ‘digembala’ hari demi hari untuk memperoleh ilmu pengetahuan.  Segalanya untuk mengecapi kesenangan di dunia. Kejelekan ini membuatkan beliau mengimpikan ‘nirvana’ atau ‘pembebasan daripada segala penderitaan yang penganut agama Buddha percaya mampu diperoleh melalui membebaskan atau melepaskan segala kehendak peribadi’.  Pada baris terakhir, beliau menulis, “sedar diri, masih samsara”.  Kata “samsara” bertautan dengan kepercayaan agama Buddha dan Hindu yang bertautan dengan kitaran kematian dan kelahiran semula.

            Sebelumnya telah disentuh tentang perlunya membuat kajian apabila memlih sesuatu perkataan untuk diguna pakai sebagai imejan atau majas. Dalam konteks sajak ini, pemilihan kedua-dua kata berkenaan, bagi sesetengah khalayak, agak sensitif kerana melibatkan kepercayaan dan akidah. Penulis makalah tidak ingin mengulas dengan lebih panjang, cukuplah menitip peringatan kepada saudara Danial agar lebih berhati-hati apabila memilih diksi. Kita imbas kembali sajak yang beliau hasilkan seperti yang berikut;    

Lelah

Aku digembala setiap pagi

memenuhi cita-cita sebagai ternakan

dimanipulasi menjadi abdi

memperjudi kudrat untuk helaian kertas.

Tali leher menjadi petanda

manusia syirik kepada harta

hidup digembala, mati dilupakan

pentasnya buana, manusia dilakonkan.

Benar kata sang pencerah

hidup semata hiburan

teatrikal, ketawa dan tangisan

egotistikal, mati takkan kusembah.

Yang kudambakan nirvana

hakikatnya cahaya disuluh bayang berganda

takut mati takut segalanya

sedar diri, masih samsara.

            Sajak terakhir, “Bidadari di Ranjang”karyaAwang Alfizanbersifat sederhana, namun berkesan dari segi penyampaian mesejnya dan mampu menjentik emosi.  Saudara Awang Alfizan mengisahkan tentang keadaan opahnya yang gering akibat jangkitan pada paru-paru. Daripada baris pertama dan kedua pada rangkap kedua, dapat disimpulkan bahawa peristiwa ini berlaku semasa beliau masih kanak-kanak lagi. Oleh sebab perasaan kasih dan sayang terhadap opahnya yang diumpamakan ibarat bidadari, beliau sanggup ‘mendermakan’ paru-parunya, asalkan opahnya sembuh kembali. Terkesan ‘kesayuan’ tertitip pada rangkap akhir sajak ini. Pun demikian, sekiranya dilakukan pemurnian dan penambahbaikan, sajak ini berupaya menyerlah. Sama-sama kita hayati sajak beliau yang ditulis seperti yang berikut;

Bidadari di Ranjang

Memerhatimu dari celahan

antara dinding dan pintu

kau terbaring longlai

dikelilingi ibu serta saudara

bergema kalimah doa untukmu.

Aku berdiri memeluk boneka

bantal busuk yang dijahitmu

menanti diajak main

namun kau masih lena

berbungkus selimut dek dingin.

Kata ayah, ada pedih

pada paru mengerang perit

hingga opah lumpuh di ranjang

batuk menyiksa meski kerap diubat

membuatku duka mengenangmu.

Jika keajaiban bisa berlaku

izinkan paruku untuk bidadari itu.

            Secara keseluruhan, ketiga-tiga buah sajak agak baik dari segi pengolahannya.  Namun demikian, dari segi keberkesanan penyampaian mesej, saudara Danial perlu memberi fokus terhadap aspek keselarasan penyampaian mesejnya.  Di samping itu, saudara Danial perlu lebih berhati-hati dalam pemilihan diksi pada masa akan datang.  Teruskan berkarya dan jangan putus semangat.  Tahniah dan syabas kepada saudara Saleh Muslim, Danial Haziq Izzudin dan Awang Alfizan. Tingkatkan pengetahuan dalam bidang kepengarangan dengan lebih banyak membaca karya-karya penulis tersohor.  Namun, elak daripada amalan plagiat. Jadikan kamus sebagai teman setiap kali menulis.

            Salam sastera, salam bahasa nadi bangsa.   

Continue Reading

Previous: Titip Doa Untukmu
Next: Titipkan Pustaka Pengalaman Pembacaan dalam Karya

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.