KUCHING: Sokongan padu yang diberikan oleh para pengundi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang lalu mencerminkan jaminan dan keyakinan penuh rakyat terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk terus memimpin Sarawak mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah berkata, keputusan yang dilakukan oleh Abang Johari dalam meyakinkan dan mendapat perkenan daripada Istana Negara melalui Seri Paduka Baginda untuk menamatkan Proklamasi Darurat di Sarawak pada November 2021 merupakan sebuah keputusan yang bijak dan harus dipuji.
“Melalui musyawarah ini, Sarawak dapat mengadakan PRN pada Disember 2021 untuk mendapat mandat baharu daripada rakyat.
“Jika difikirkan kembali, pertimbangan dan keputusan yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat sememangnya sangat bijak dan memberikan tuah di mana PRN dapat diadakan sejurus sebelum musim monsun tiba dan sebelum kemunculan varian baharu Covid-19 yang membimbangkan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Petugas Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, semalam.
Tambah beliau, kemenangan besar yang dicipta Gabungan Parti Sarawak (GPS) melukiskan sebuah sejarah baharu sejak Sarawak merdeka yang mana parti pemerintah menang dengan mandat yang begitu kuat dan sokongan padu yang diberikan oleh pengundi.
“Pilihan raya kali ini diadakan dengan protokol Kesihatan (SOP-Prosedur Operasi Standard) yang ketat yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mana pada hari penamaan calon, bilangan mereka yang dibenarkan hadir, termasuk penyokong calon dikawal pada tahap yang paling minimum.
“Selain itu, perhimpunan fizikal dan kempen dikawal ketat, kempen dari pintu ke pintu tidak dibenarkan dan ceramah dihadkan kepada 150 orang sahaja pada satu-satu masa.
“Namun, di sebalik semua cabaran dan kesukaran yang dihadapi semasa pilihan raya, GPS menang dengan baik bergaya di mana kita menang 92.7 peratus atau 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri dan kita telah mencipta sejarah!” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA