
PHNOM PENH: Seekor lagi anak ikan lumba-lumba Irrawaddy Mekong yang nadir (jarang ditemukan) dikesan, menjadikan jumlah kelahiran mamalia itu di Kemboja kepada tiga setakat tahun ini, menurut kenyataan media Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan (MAFF) pada Sabtu, lapor Xinhua.
Anak ikan itu dikesan pada petang Rabu di kolam ikan lumba-lumba Kampi di daerah Chetr Borei, wilayah Kratie oleh pasukan penyelidik Pentadbiran Perikanan dan Tabung Alam Sedunia (WWF).
“Anak ikan berusia dua hari itu berada dalam keadaan sihat dan kelihatan berenang bersama sekumpulan lima ekor ikan lumba-lumba dewasa,” menurut kenyataan itu. “Ia merupakan anak ikan lumba-lumba ketiga yang dilahirkan pada 2026.”
Ikan lumba-lumba Irrawaddy Mekong telah disenaraikan sebagai spesies terancam kritikal dalam Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) sejak 2004.
Dianggarkan pada masa ini terdapat kira-kira 115 ekor ikan lumba-lumba Irrawaddy yang hidup di sepanjang 120 kilometer saluran utama Sungai Mekong di timur laut wilayah Kratie dan Stung Treng, menurut MAFF.- Bernama-Xinhua