
PETRA JAYA: Negara Kemboja mencadangkan kepada kerajaan Sarawak untuk mewujudkan penerbangan terus daripada Kuching ke Phnom Penh apabila syarikat penerbangannya, AirBorneo memulakan operasinya kelak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, cadangan berkenaan telah disampaikan oleh Menteri Kanan Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja Neak Oknha Datuk Dr Othsman Hassan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Antara permohonan daripada pihak Kemboja kepada Premier Sarawak ialah memasukkan Phnom Penh sebagai destinasi sekiranya sistem penerbangan Sarawak nanti iaitu AirBorneo agar kita mempunyai laluan ataupun penerbangan khas daripada Phnom Penh ke Kuching dan Kuching ke Phnom Penh,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas bersama-sama delegasi Kemboja mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Menurut Datuk Dr Othsman, penerbangan daripada Kemboja ke Sarawak kini memakan masa lebih 10 jam termasuk transit dari Kuala Lumpur ke Kuching namun ianya dapat dipendekkan kurang daripada tiga jam sekiranya mempunyai penerbangan terus.
Antara lain yang dibincangkan ialah permohonan untuk menghantar pelajar daripada Phnom Penh belajar di Sekolah Islam Antarabangsa yang kini masih dalam proses pembinaannya.
Menurut Datuk Dr Abdul Rahman, para pelajar di peringkat sekolah menengah daripada Phnom Penh akan dijemput untuk belajar di sekolah ini nanti.
“Sebenarnya sekolah ini disebut sebagai Sekolah Antarabangsa Islam kerana ia akan mengambil kira pengambilan pelajar daripada negara-negara minoritinya Islam yang menjadi anggota negara Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) termasuk Kemboja ini tadi yang telah menjadi anggota RISEAP,” jelasnya. -UKAS