SELEPAS PEMBEDAHAN… Gambar edaran Jabatan Kesihatan Negeri Rio de Janeiro ini menunjukkan kembar
siam Brazil Bernardo (kiri) dan Arthur (kanan) bersama ibu bapa mereka, Adriely (dua, kiri) dan Antonio Lima selepas pembedahan kembar di Instituto Estadual do Cerebro Paulo Hospital Niemeyer (IECPN) di Rio de Janeiro, Brazil. • Foto AFP
RIO DE JANEIRO: Kembar siam yang dilahirkan di Brazil dengan kepala dan otak bercantum berjaya dipisahkan dalam apa yang disifatkan oleh doktor pada Isnin lalu sebagai pembedahan paling kompleks seumpamanya, yang dikendalikan menggunakan realiti maya.
Arthur dan Bernardo Lima dilahirkan pada 2018 di Negeri Roraima di utara Brazil sebagai kembar craniopagus, keadaan yang sangat jarang berlaku yang mana adik-beradik itu bersatu di tengkorak.
Bergabung di bahagian atas kepala selama hampir empat tahun dengan kebanyakannya masa dihabiskan di dalam bilik hospital yang dilengkapi dengan katil rekaan khas untuk adik-beradik itu, kini dapat memandang muka satu sama lain buat kali pertama, selepas sembilan siri operasi yang memuncak dengan pembedahan maraton 23 jam untuk memisahkan mereka.
Badan amal perubatan, Gemini Untwined yang berpangkalan di London, yang membantu menjalankan prosedur itu, menyifatkan ia sebagai ‘perpisahan’ paling mencabar dan kompleks setakat ini memandangkan budak lelaki itu berkongsi beberapa urat penting.
“Ia adalah pembedahan yang paling sukar, kompleks dan mencabar dalam kerjaya saya. Tiada siapa yang percaya ia mungkin pada mulanya.
“Menyelamatkan mereka berdua adalah satu pencapaian bersejarah,” kata pakar bedah saraf, Gabriel Mufarrej dari Institut Otak Negeri Paulo Niemeyer (IECPN) di Rio de Janeiro, lokasi prosedur itu dijalankan.
Anggota pasukan perubatan, termasuk hampir 100 kakitangan, bersedia untuk peringkat akhir pembedahan yang rumit pada 7 dan 9 Jun lalu dengan bantuan realiti maya.
Menggunakan imbasan otak untuk mencipta peta digital tengkorak yang dikongsi kanak-kanak lelaki, pakar bedah berlatih untuk prosedur itu dalam pembedahan percubaan realiti maya trans-Atlantik yang dilaksanakan di Britain dan Brazil.
Pakar bedah saraf British, Noor ul Owase Jeelani, pakar bedah utama untuk Gemini Untwined, menggelar sesi persediaan sebagai ‘barangan zaman angkasa.’
“Sungguh mengagumkan, ia benar-benar hebat untuk melihat anatomi dan melakukan pembedahan sebelum anda benar-benar meletakkan kanak-kanak pada sebarang risiko.
“Untuk melakukannya dalam realiti maya adalah perkara yang benar-benar ‘manusia di Marikh’.” katanya kepada agensi berita Britain, PA.
Gambar dan video yang dikeluarkan oleh kakitangan perubatan menunjukkan kanak-kanak lelaki itu berbaring bersebelahan selepas pembedahan, dengan Arthur menghulurkan tangan untuk menyentuh tangan abangnya, Bernardo.
“Kanak-kanak lelaki itu masih dalam proses pemulihan dan mungkin memerlukan prosedur lanjut semasa mereka berkembang
“Pertuturan adalah sukar bagi mereka dan Bernardo mempunyai defisit motor di sebelah kanan. Mereka akan mengambil sedikit masa untuk sampai ke tahap yang mana kita mahu mereka berada. Tetapi, saya percaya kepada mereka,” kata Mufarrej. -AFP