LAWAS: Perkembangan industri halal secara global dilihat sebagai satu peluang bagi mengembangkan industri halal di Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menjelaskan bahawa proses pengauditan untuk mendapatkan pensijilan halal di negara ini adalah sangat ketat dan negara dari Timur Tengah dan Asia Tenggara amat yakin dan mengiktiraf proses pensijilan halal Malaysia.
Selain itu, pensijilan halal daripada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) akan lebih mudah untuk diperolehi sekiranya telah memperolehi pensijilan BeSS atau MeSTI daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Untuk mendapatkan kedua-dua pensijilan ini pula, pemilik perniagaan mestilah mempunyai lesen perniagaan sama ada daripada Majlis Daerah atau Pejabat Daerah.
Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak menyatakan demikian sewaktu merasmikan Program Kursus MeSS Mesti Halal di Gelanggang Taman Awam Lawas baru-baru ini.
Seterusnya peluang industri halal bukan sahaja kepada orang Islam semata mata tetapi juga turut merentasi orang bukan Islam.
“Penerimaan pengguna bukan Islam terhadap produk dan perkhidmatan halal juga meningkat, malah ada kajian mendapati pengguna bukan Islam mempunyai tanggapan yang lebih positif terhadap produk halal khususnya dari segi jaminan kebersihan.
“Hakikatnya kini, majoriti produk dan perkhidmatan keluaran tempatan telah berjaya menembusi pasaran dunia dan diterima oleh negara-negara bukan Islam seperti Brazil, Australia, Jepun, Thailand, Korea Selatan dan China terutamanya yang telah mendapatkan pengiktirafan pensijilan MeSTI dan halal,” tambahnya.
Pada tahun 2019, eksport produk halal bernilai RM40.2 billion atau 41 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia.
Oleh itu, Awang Tengah memberitahu dalam Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11), MINTRED telah menerima peruntukkan berjumlah RM309.3 juta untuk 26 projek pembangunan infrakstruktur perindustrian.
Mengulas lanjut, kerajaan juga giat membina taman perindustrian dan Anjung Usahawan di Limbang dan Lawas.
Ini adalah untuk memberi kemudahan kepada usahawan terutamanya di luar bandar yang masih belum mempunyai premis yang sah dan sempurna bagi memulakan perniagaan.
Bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berhasrat untuk mengembangkan perniagaan dan memerlukan sokongan dari segi bantuan kewangan, Kementerian yang diterajuinya telah melaksanakan beberapa program bantuan kewangan.
Antaranya ialah seperti Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV).
Bagi meringankan beban beban usahawan dan PKS Sarawak akibat pandemic Covid-19, Kerajaan Sarawak telah memberi moratorium selama 9 bulan kepada SPIKS dan 6 bulan untuk SKMS. Di samping itu, Kerajaan juga memberi faedah percuma selama 3.5 tahun (42 bulan) untuk pinjaman SPIKS dan SKMS.
Sehingga Ogos 2020, kementerian bertanggungjawab telah meluluskan sebanyak RM23.3 juta yang memberi manfaat kepada 278 PKS untuk modal pusingan, pembelian mesin-mesin atau peralatan serta pengubahsuaian premis di bawah Program SPIKS.
Turut hadir, Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Naroden Haji Majais, Pengurus Besar SEDC Sarawak, Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir, Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Ketua Masyarakat, Ketua Kaum dan hampir 150 peserta kursus.
Oleh Adeng Edrus