Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Kembalikan hukuman rotan di sekolah: KGBS
  • PENDIDIKAN

Kembalikan hukuman rotan di sekolah: KGBS

Utusan Sarawak 18 hours ago
ZULKIFLEE Sebli.

KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menegaskan bahawa hukuman rotan wajar dikembalikan di sekolah sebagai salah satu mekanisme mendisiplinkan pelajar, khususnya dalam menangani masalah buli dan salah laku serius.

Presidennya, Zulkiflee Sebli berkata, KGBS tidak bersetuju dengan kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM) yang menyatakan hukuman rotan bukanlah jalan penyelesaian terhadap isu disiplin.

Menurutnya, hukuman rotan masih relevan dan berperanan sebagai simbol ketegasan serta pengajaran supaya pelajar lebih bertanggungjawab terhadap tingkah laku mereka.

“Rotan bukan bertujuan mencederakan, tetapi memberi isyarat tegas bahawa setiap pelanggaran disiplin mempunyai akibat,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.

KGBS berpandangan bahawa pendekatan disiplin tanpa elemen fizikal semata-mata seperti teguran, kaunseling atau surat amaran dilihat kurang berkesan, memandangkan kes buli dan pergaduhan masih berlaku di sekolah.

Katanya, tanpa hukuman rotan, pelajar cenderung mencabar kewibawaan guru dan mengabaikan peraturan sekolah.

Selain itu, KGBS turut mencadangkan beberapa alternatif seperti khidmat masyarakat di sekolah, pemotongan markah sahsiah dan kaunseling wajib bersama ibu bapa.

Namun tegasnya,  langkah-langkah tersebut perlu disokong dengan hukuman rotan bagi memastikan keberkesanan disiplin.

Antara punca utama kelemahan disiplin pelajar ketika ini, jelasnya, termasuk kuasa guru yang semakin terbatas, campur tangan ibu bapa yang kerap mempertikai tindakan sekolah, pengaruh media sosial serta dasar hukuman yang dianggap terlalu longgar.

“Bagi memperkukuh sistem disiplin, KGBS mencadangkan supaya KPM menilai semula pelaksanaan hukuman rotan secara terhad bagi kes serius, memperkasa unit bimbingan dan kaunseling sekolah dengan khidmat kepakaran luar serta melibatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes buli berat, “katanya.

KGBS turut menggesa agar guru diberikan latihan disiplin moden namun tetap dikekalkan kuasa merotan sebagai pilihan terakhir.

Dalam masa sama, KGBS menekankan peranan ibu bapa sebagai rakan strategik sekolah dalam membentuk disiplin anak-anak.

“Sokongan ibu bapa terhadap tindakan disiplin guru amat penting. Disiplin perlu bermula di rumah, dengan ibu bapa menjadi contoh dan teladan,” tambah beliau.

KGBS kekal dengan pendirian tegas bahawa hukuman rotan perlu dikembalikan di sekolah selari dengan keperluan semasa bagi mengekang peningkatan kes buli dan salah laku pelajar.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Kriteria pengecualian bayaran balik PTPTN bagi graduan ijazah kelas pertama disemak semula
Next: 29,177 murid Tahun 6 duduki UP-DLPS 6 bermula hari ini – Roland Sagah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.