Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Kemasyhuran viral kanak-kanak Indonesia tarik pelancong ke perlumbaan perahu
  • GLOBAL

Kemasyhuran viral kanak-kanak Indonesia tarik pelancong ke perlumbaan perahu

Utusan Sarawak 14 hours ago
RAYYAN Arkan Dikha (kiri), seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang menjadi viral kerana tarian tenangnya di hujung hadapan perahu panjang tradisional, duduk di atas perahu pasukannya sebelum pertandingan semasa festival perlumbaan perahu Pacu Jalur di Sungai Kuantan, daerah Kuantan Singingi, wilayah Riau, pada 22 Ogos 2025. Foto AFP

PEKANBARU, Indonesia: Kami menawarkan laporan berikut yang telah dipilih oleh ketua editor AFP untuk diterbitkan semula sebagai antara kisah paling menginspirasikan minggu ini.
Gambar oleh Wahyudi. Video oleh Ocean. Laporan oleh Hengki Yuli Yandi di Kuantan Singingi, bersama Marchio Gorbiano dan Dessy Sagita di Jakarta.

Dengan kayu pendayung berwarna-warni di tangan, para pendayung memenuhi perahu panjang di barat Indonesia, mengayuh sepenuh tenaga di hadapan ribuan penonton yang jumlahnya melonjak susulan tularnya seorang kanak-kanak lelaki yang menari lincah di hadapan perahu tradisional tersebut.

Perlumbaan tahunan Pacu Jalur di Pulau Sumatera berakhir pada Ahad, dengan pihak penganjur menganggarkan sehingga 100,000 penonton tambahan hadir tahun ini, semuanya kerana aksi tarian Rayyan Arkan Dikha, 11 tahun, di atas perahu yang meluncur laju.

PARA peserta bersiap sedia dengan perahu mereka untuk pertandingan semasa festival perlumbaan perahu Pacu Jalur di Sungai Kuantan, daerah Kuantan Singingi, wilayah Riau. Foto AFP

“Saya datang untuk menyaksikan Pacu Jalur kerana saya mahu merakam dan memperkenalkan festival ini kepada dunia,” kata pelancong Australia, Duncan McNaught, kepada AFP.
“Saya rasa para pendayung itu memang hebat, luar biasa. Saya amat teruja menantikannya.”

Klip berdurasi 20 saat yang memaparkan Rayyan menari di atas perahu telah meraih jutaan tontonan di media sosial.

Bintang sukan ternama, termasuk pelumba Formula Satu Alex Albon dan jaguh MotoGP Marc Marquez, turut meniru gerakan tarian kanak-kanak itu dalam video mereka sendiri — memusingkan tangan dan menghayun lengan ke depan dan ke belakang.

Fenomena tarian viral tersebut telah menarik pengunjung dari seluruh negara dan luar negara ke Sungai Kuantan di wilayah Riau, Sumatera.

SEORANG kanak-kanak menari di hujung hadapan perahu panjang tradisional semasa festival perlumbaan perahu Pacu Jalur di Sungai Kuantan, daerah Kuantan Singingi, wilayah Riau. Foto AFP

Warga Indonesia, Yuyun Kurnia, 38, sanggup memandu selama 17 jam dari bandar Medan di Sumatera semata-mata untuk menyaksikan Pacu Jalur selepas mengetahui mengenainya melalui internet.

“Selepas ia tular di media sosial, saya teringin melihat Pacu Jalur secara langsung,” katanya kepada AFP, sambil menyifatkan pengalaman menyaksikan perlumbaan itu dengan mata sendiri sebagai sesuatu yang “menakjubkan”.

Pada tahun lalu, perlumbaan tersebut menarik seramai 1.4 juta pengunjung dan menjana lebih AS$2.5 juta kepada ekonomi tempatan, menurut Kementerian Pelancongan.

Tahun ini, penganjur menyasarkan kehadiran 1.5 juta penonton, termasuk peningkatan ketara pelancong asing, kata Ketua Agensi Pelancongan Riau, Roni Rakhmat, kepada AFP.

Pihak berkuasa menjangkakan hasil pendapatan boleh meningkat sehingga AS$4.6 juta berikutan perbelanjaan lebih tinggi setiap pengunjung.

SANGAT HEBAT


Menurut laman web rasmi kerajaan tempatan, Pacu Jalur bermula sejak abad ke-17, ketika penduduk menggunakan perahu panjang tradisional kayu yang dikenali sebagai ‘jalur’ untuk mengangkut barangan dan penumpang.

Lama-kelamaan, perahu tersebut berevolusi menjadi kenderaan perlumbaan, dan kini acara itu diadakan setiap Ogos.

SEORANG kanak-kanak menari di hujung hadapan perahu panjang tradisional semasa festival perlumbaan perahu Pacu Jalur di Sungai Kuantan, daerah Kuantan Singingi, wilayah Riau. Foto AFP

Penduduk tempatan meluahkan rasa gembira apabila kemasyhuran kanak-kanak itu berjaya menarik perhatian lebih ramai pihak terhadap perlumbaan bersejarah tersebut.

“Saya rasa sangat hebat apabila seorang kanak-kanak seusia itu mampu membina jenama peribadi melalui Pacu Jalur. Melalui tariannya, dia telah memperkenalkan Pacu Jalur ke seluruh dunia,” kata Naysila Ayunita Sari, 18, kepada AFP.

Acara itu mengubah wajah sepanjang Sungai Kuantan, dengan khemah dan payung menghiasi tebing sungai.
Sebahagian penonton turut terjun ke dalam sungai untuk melihat perlumbaan dari jarak dekat.

Peranan penari perahu yang berdiri di hujung hadapan perahu bertujuan memberi semangat kepada para pendayung.

“Budak itu berdiri dan menari di atas perahu, itu bukan perkara mudah,” kata Frima, 35, seorang penduduk tempatan yang menggunakan satu nama seperti kebanyakan rakyat Indonesia.

“Kalau tanya saya sama ada saya berani cuba… jawapannya tidak.”

BERSYUKUR

Lebih 220 pasukan, kebanyakannya mewakili kampung atau daerah tempatan, mengambil bahagian dalam perlumbaan tahun ini.

Mereka bersaing merebut hadiah keseluruhan bernilai sekitar 900 juta rupiah (AS$55,000), menurut Roni.

Menurut beliau, pihak berkuasa memanfaatkan peningkatan liputan acara untuk memperbaiki penganjuran serta menjaga kebersihan sungai.

Polis dan tentera telah mengambil tindakan menghentikan aktiviti perlombongan emas haram di kawasan berhampiran sungai sebelum perlumbaan bagi mengurangkan pencemaran, tambahnya.

“Pada tahun-tahun sebelum ini, tiada pelancong asing yang menonton Pacu Jalur. Kini, ada,” katanya.

Bagi penduduk tempatan seperti Frima, yang telah menonton perlumbaan ini sejak kecil, minat baharu terhadap acara itu di luar jangkaan mereka.

“Saya tidak pernah terfikir semua mata kini tertumpu pada tempat kecil di sebelah barat Riau ini,” katanya.

“Saya bersyukur kerana Pacu Jalur kini dikenali di seluruh dunia.” – AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: 36 maut akibat tanah runtuh di Jammu dan Kashmir
Next: 12 maut runtuhan bangunan di negeri Maharashtra, India

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.