SIMANGGANG: Tadika Simanggang merupakan sebuah prasekolah aliran bahasa Mandarin sebagai pilihan kepada ibu bapa untuk menghantar anak mempelajari bahasa Cina apabila kemasukannya adalah terbuka kepada semua kaum khususnya di Bandar Simanggang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, umum mengetahui masyarakat Cina sangat mementingkan pendidikan untuk persediaan mendepani cabaran pembangunan yang semakin maju.
“Tanpa pendidikan, negara tidak dapat bersaing dalam pembangunan global dan akan ketinggalan dalam arus pembangunan
“Kesedaran kepentingan pendidikan daripada masyarakat Cina ini terbukti dengan kewujudan beberapa prasekolah, sekolah rendah dan menengah aliran bahasa Mandarin di seluruh negara yang terbuka kepada kemasukkan pelbagai kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis graduasi Tadika Simanggang kali ke-46 di Dewan Suarah Sri Aman, hari ini.
Seramai 53 kanak-kanak berusia enam tahun menamatkan prasekolah di Tadika Simanggang telah menerima sijil pada majlis tersebut.
Harden berkata, sokongan berterusan kerajaan serta semua pihak dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak ini adalah amat wajar dihargai.
“Kita perlu memastikan pendidikan awal kanak-kanak terus diperkasa untuk masa depan kanak-kanak terbabit dan disebabkan itu kerajaan melihat keperluan pendidikan awal kanak-kanak untuk membentuk anak bangsa yang akan menjadi pelapis negara,” katanya.
Pada majlis tersebut, Harden telah mengumumkan kelulusan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM15,000 kepada Tadika Simanggang digunakan untuk membiaya aktiviti prasekolah yang telah dirancang.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Soon Heng Simanggang, Tay Chiew Hua, Pengerusi Lembaga Pengurusan Tadika Simanggang, Goh Kaw Sze, Guru Besar Tadika Simanggang, Tay Siew Lang dan Penghulu Tiong Chong Onn.
Oleh Adi Saparman