
TANJONG MALIM: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berharap pengambilan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak lagi dipolitikkan sehingga menjejaskan matlamat sebenar kemasukan pelajar.
Zambry menegaskan pengambilan pelajar ke IPTA dibuat berasarkan merit dan sebarang masalah yang timbul boleh dirujuk kepada bahagian Unit Pusat Universiti (UPU).
“Saya harap pada kali ini juga perkara ini dapat diambil perhatian oleh semua pihak, sekiranya ada perkara masalah mengapa pelajar ini tak dapat masuk disebabkan keputusan baik, boleh dirujuk kepada pihak UPU.
“Kita sentiasa terbuka untuk memaklumkan kepada ibu bapa semua sebab kita kena ingat bahawa ini adalah peluang untuk anak-anak kita yang mempunyai impian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Majlis Penutupan Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 dan Majlis Pelancaran Global Educator Award 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Zambry berkata peluang melanjutkan pengajian tidak terhad kepada universiti awam semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai saluran termasuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), politeknik serta kolej komuniti.
Sementara itu, beliau berkata program JMU 2026 Zon Tengah II yang diadakan di Kampus Sultan Azlan Shah di Tanjung Malim, UPSI itu dijangka menarik sekitar 20,000 penyertaan.
Katanya, program tersebut diadakan bertujuan ialah untuk memberikan penerangan, pendedahan kepada lepasan SPM tentang peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.
Sebanyak 74 reruai pameran IPT dan agensi pendidikan serta 60 gerai usahawan menyertai karnival yang berlangsung selama dua hari itu.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah dan Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff. – Bernama