UNTUK KENANGAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kanan) menerima cenderamata daripada Timbalan Pengerusi BDA Dato Haidar Khan Asghar Khan semasa hadir pada Majlis Apresiasi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) 2022 di salah sebuah restoran terkemuka di Bintulu pada Selasa lalu.
BINTULU: Kemasukan pelabur asing ke Sarawak menunjukkan dasar ekonomi di bawah pimpinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) diyakini oleh pihak luar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebuah syarikat dari Amerika Syarikat baru-baru ini melabur sebanyak RM200 juta untuk pelaksanaan fasa pertama hab perubatan di tapak loji metanol di Bintulu.
Seterusnya, tambah beliau, fasa kedua dijangka akan menerima nilai pelaburan sebanyak RM800 juta daripada syarikat tersebut.
“Ini adalah satu petanda bahawa pihak swasta dan pelabur luar mempunyai keyakinan kepada dasar ekonomi yang dibawa oleh kerajaan GPS.
“Dasar ekonomi ini akan jadi pemangkin kepada pembangunan pasca pandemik sehingga tahun 2030 dan juga menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang berkisar antara enam hingga lapan peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) 2022 di salah sebuah restoran terkemuka di sini pada Selasa lalu.
Menurut Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari, kawasan Tanjung Kidurong akan semakin dikenali apabila loji metanol yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak itu bakal menjadi pusat pengeluaran gas hidrogen yang pertama di Malaysia.
Ujarnya, loji tersebut mampu menghasilkan sebanyak 10,000 tan hidrogen yang akan dibeli oleh syarikat Samsung dari Korea Selatan dan Sumitomo dari Jepun.
Oleh CAROLYNE UTIH