
KUCHING: Sarawak merekodkan kahadiran seramai 400,531 pelancong pada Januari tahun ini sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 13.47 peratus berbanding 352,983 pelawat pada tempoh yang sama tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah tersebut merangkumi 233,404 pelancong antarabangsa, manakala 167,127 adalah pelancong domestik.
”Peningkatan yang ketara ini merupakan satu permulaan yang positif untuk Sarawak dan kita percaya angka ini akan terus meningkat menjelang Disember tahun ini.
”Penerimaan jumlah resit pelancongan kita pada Januari tahun ini sahaja mencecah hingga RM1.025 bilion. Jika trend peningkatan ini berterusan, kita akan dapat menyuntik RM12 bilion ke dalam ekonomi Sarawak menjelang Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Integriti Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak 2025 di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya beliau optimis Sarawak akan dapat mencecah sasaran ketibaan pelancong seramai lima juta orang menjelang hujung tahun ini sekali gus merancakkan pelbagai sektor berkaitan di negeri ini.
Tambahnya lagi, penubuhan syarikat penerbangan AirBorneo juga akan menjadi salah satu pemangkin utama yang akan merancakkan ekonomi Sarawak khususnya dalam industri pelancongan.
”AirBorneo akan beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan nasional yang kukuh dengan sokongan kewangan daripada kerajaan negeri, seperti model penerbangan negara lain seperti Qatar Airways, Turkish Airlines dan Emirates.
“Selain itu, AirBorneo juga disokong oleh kerajaan negeri yang berdaya maju dan mempunyai sumber kewangan yang kukuh,” tambahnya.
Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Menteri MTCP, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap MTCP Datu Sherinna Hussaini dan Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Datu Salleh Askor.
Oleh Rynna Sha’erra