
PILU... suasana di Pantai Belawai hari ini, dengan orang ramai serta keluarga mangsa menunggu dengan penuh debaran.
TANJUNG MANIS: Mayat mangsa bot karam di Pantai Belawai iaitu kanak-kanak lelaki ditemukan pada kira-kira jam 6 petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, mangsa ditemui pada jarak 300 meter ke hilir dari lokasi kejadian.
Berikutan itu, kini lima orang mangsa, semuanya lelaki masih belum ditemui.
Kemalangan itu berlaku petang semalam apabila bot fiber membawa 16 warga Indonesia bersama pemandu tempatan, karam.
Mereka berlepas dari Pantai Belawai setelah membeli bekalan makanan untuk balik ke tempat kerja mereka di ladang seberang Kampung Belawai.
Semalam, empat mangsa ditemukan meninggal dunia iaitu dua wanita dewasa dan dua orang kanak-kanak lelaki dan perempuan.
Dalam tragedi itu, tujuh orang selamat.
Operasi SAR hari kedua hari ini ditangguhkan pada jam 6.40 petang tadi dan akan disambung semula pagi esok.
Oleh Earl Anek