
Imbasan... Paparan kisah bayi malang itu yang disiarkan Utusan Sarawak pada 17 Julai lalu, menarik perhatian orang ramai.
SARIKEI: “Ibu, Amarise rindu ibu…kenapa ibu tak nak jumpa Amarise. Apa salah Amarise hingga ibu sanggup tinggalkan Amarise.”
Mungkin itulah luahan hati seorang bayi perempuan berusia lebih kurang tiga bulan yang ditinggalkan oleh ibu kandungnya.
Bayi berkenaan yang diberi nama panggilan Amarise telah diserahkan oleh klien kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Sarikei selepas ditemui ditinggalkan di sebuah bilik sewa di Jalan Tunku Osman, Sibu pada 10 April lalu.
Utusan Sarawak telah menghubungi pihak PKMB Sarikei bagi mendapatkan perkembangan terkini berkenaan bayi perempuan terbabit.
Menurut Pelindung Kanak-Kanak, bayi tersebut kini berada di bawah jagaan pihak kebajikan dan telah ditempatkan di lokasi selamat bagi tujuan pemeliharaan dan perlindungan mengikut peruntukan undang-undang.
Menjawab pertanyaan berkaitan proses pengambilan anak angkat kerana ramai warganet berminat, beliau memaklumkan bahawa pemohon perlu terlebih dahulu mengemukakan permohonan anak pelihara di Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berhampiran.
“Bagaimanapun, ibu kandung atau waris belum dapat dikesan, proses ini dijangka mengambil masa yang lebih panjang,” katanya.
Beliau berkata, keutamaan pihak kebajikan ketika ini adalah untuk mengenal pasti waris kanak-kanak berkenaan sebagai langkah awal sebelum sebarang proses selanjutnya dapat diteruskan.
Terdahulu, laporan polis pertama berhubung kes ini telah dibuat di Balai Polis Sentral, Sibu.
Kes berkenaan kini dalam siasatan Pelindung Kanak-Kanak mengikut keperluan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Usaha sedang dijalankan untuk mengesan ibu kandung atau waris bagi mendapatkan maklumat penting berkaitan pendaftaran sijil kelahiran serta penempatan tetap bayi tersebut.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali ibu kandung bayi berkenaan diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak, Atika atau Emy di talian 084-651005 atau 084-644750 dengan segera.
Oleh Earl Anek