SARIKEI: Kereta Perodua Alza yang dinaiki lapan orang, kesemuanya maut dalam kemalangan ngeri di sini hari ini, cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Supt Aswandy Anis, berkata mangsa cuba melarikan diri daripada pemeriksaan kereta Unit Kereta Peronda (MPV) polis dan telah memasuki laluan bertentangan bermula di lencongan Simpang Bulat.
“Apabila sampai di Jambatan Sungai Nyelong, Lebuh Raya Pan Borneo, kereta Perodua Alza tersebut telah bertembung dengan sebuah Hilux yang dinaiki oleh seorang lelaki dan perempuan.
“Akibat kemalangan ini, kesemua pemandu dan penumpang Perodua Alza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Sarikei.
“Pemandu dan penumpang Hilux pula mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media malam ini.
Aswandy berkata kemalangan maut itu berlaku di Kilometer 448 Jalan Betong/Sarikei/Meradong antara kenderaan jenis Perodua Alza dan Toyota Hilux pada jam 2.50 petang.
Kemalangan melibatkan lapan kematian iaitu tujuh warga Indonesia dan seorang penduduk tempatan.
Katanya, kenderaan Perodua Alza dinaiki seorang lelaki Cina bersama tujuh warganegara Indonesia.
Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat.
Aswandy berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan masih dalam siasatan lanjut.
Beliau meminta mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Mustaqim Idris di talian 010-4427240 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Aswandy juga menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain terjaga.