
PADAWAN: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sarawak bakal melaksanakan Program Santunan Desa selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Ogos ini bertempat di Skim Penempatan Semula Bengoh, Kampung Taba Sait, Padawan.
Program anjuran Unit Pembangunan Komuniti (PKOM) dan Pendidikan Kemahiran (PKEM) itu merupakan inisiatif untuk memperkukuh kesejahteraan komuniti luar bandar menerusi pengisian yang menyentuh aspek pendidikan, keusahawanan, pembangunan sosial dan keterlibatan komuniti.
Mesyuarat persediaan program telah diadakan di Pejabat KEMAS Puncak Borneo dan dipengerusikan oleh Penolong Pengarah Kanan PKOM dan PKEM, Josipah Sabas.
Hadir sama, wakil Pejabat Daerah Kecil Padawan, Pegawai Tadbir Awam (SAO) Tuan Paul Mathieus Akin serta ketua kaum dari Kampung Taba Sait, Kampung Semban, Kampung Rejoi dan Kampung Bojong.
Rombongan turut meninjau lokasi utama program dan kemudahan di sekitar Kampung Taba Sait bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.
Antara pengisian menarik sepanjang program ialah Program Jom Masuk Kampung (JMK) yang melibatkan aktiviti rewang sekampung dan ziarah kasih, Program Desa Cerdas (PDC) merangkumi gotong-royong, pemeriksaan kesihatan dan sukan rakyat serta eksplorasi belia melalui konvoi bermotosikal, cabaran Jalur Gemilang dan bengkel motivasi.
Selain itu, Program Quick Win pula akan menghimpunkan usahawan tempatan menerusi gerai jualan, demonstrasi kemahiran, pameran serta seminar keusahawanan bagi merangsang pembangunan ekonomi komuniti setempat.
Majlis perasmian Program Santunan Desa dijangka disempurnakan oleh Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin.
Orang ramai terutama penduduk kampung terlibat dan kawasan sekitar dijemput hadir bagi memeriahkan program serta menikmati manfaat yang disediakan oleh KEMAS dan agensi terlibat.