
PETRA JAYA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Kampung Kolong Sungai Tengah berakhir hari ini selepas jasad mangsa ditemui kira-kira 2.7 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB) ke hilir sekitar 11.20 pagi tadi.
Mangsa, Fahrell Zaquan Hasbullah, 16 tahun, ditemui meninggal dunia pada hari ketiga operasi SAR yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak. Penemuan itu menamatkan operasi yang bermula sejak Jumaat lalu.
Pada hari ketiga operasi, seramai lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya (BBP Petra Jaya) digerakkan ke lokasi pada 8.20 pagi. Operasi pencarian dimulakan pada 9.00 pagi dengan radius pencarian sejauh dua kilometer ke hilir dari PKOB. Unit K9 JBPM turut menyertai pencarian pada 11.00 pagi di kawasan yang dikenal pasti berpotensi mangsa tersangkut.
Pada 11.20 pagi, pasukan SAR menerima makluman daripada orang awam mengenai penemuan jasad mangsa. Jarak penemuan dianggarkan 2.7 kilometer ke hilir dari PKOB. Pasukan kemudian bergerak ke lokasi.

Komander Operasi Kanan (KOK), TPgB II Lawrance Rungan, tiba di PKOB pada 11.30 pagi bagi menyelaras operasi. Jasad mangsa diangkat ke dalam bot dan dibawa ke pangkalan Masjid Kampung Tengah Sungai sebelum tiba pada 1.39 petang.
Pengesahan identiti dilakukan oleh ahli keluarga, dan jasad diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan arus deras ketika bermain di tebing sungai bersama seorang rakan sekitar 4.00 petang. Mangsa dikatakan tidak berbaju dan hanya memakai seluar panjang berwarna putih ketika kejadian.