
KUCHING: Mesyuarat penyelarasan projek KEMAS RP1 hingga RP5 antara Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah diadakan di Pejabat Timbalan Pengarah JKR Sarawak, Tingkat 19, Wisma Saberkas di sini, baru-baru ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah (Sektor Infrastruktur) JKR Sarawak, Ir. Wisil Lichok, dan turut dihadiri oleh Pengarah KEMAS Sarawak, Anisah Saidin.
Tujuan utama mesyuarat adalah untuk menyelaras pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur yang melibatkan fasiliti KEMAS di seluruh negeri Sarawak, selaras dengan peruntukan di bawah Rancangan Pembangunan.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk aspek teknikal, pelaksanaan fizikal projek, serta keperluan penyelarasan lanjut bagi memastikan setiap projek dapat dijalankan mengikut jadual dan spesifikasi yang telah ditetapkan.
Mesyuarat tersebut turut memperkukuh kerjasama strategik antara KEMAS dan JKR dalam usaha memastikan pembangunan prasarana pendidikan awal kanak-kanak, khususnya di kawasan luar bandar, dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.
Turut hadir, Ts. Mohd Iswandi Ahmad Zaidin dan Arkitek Mohamad Ihsan bin Ramli dari JKR Sarawak serta Handrick Win Dolek, Pegawai Operasi Unit Kewangan dan Pembangunan serta Syalabiah Idet, Penolong Jurutera Awam.
Oleh Norman B